Thursday, July 13, 2017

Kesihatan & Perubatan Dalam Tradisi Islam: Perubahan & Identiti - Fazlur Rahman



Buku ini merupakan cetakan kali ketiga terbitan DBP. Terjemahan daripada karya asal Prof. Fazlur Rahman, seorang cendekiawan muslim kontemporari. Penterjemahan buku ini dilakukan oleh anak didik penulis asal itu sendiri iaitu Prof. Wan Mohd Nor bersama Shahrul Amar Abdullah.

Buku ini mempunyai 6 bab yang dimuatkan di dalam 212 mukasurat.

Bab 1: Kesejahteraan & Keuzuran Dalam Pandangan Alam Islam

Bab 2: Penilaian Agama Mengenai Perubatan

Bab 3: Ilmu Perubatan Nabi-nabi

Bab 4: Pemeliharaan Kesihatan

Bab 5: Etika Perubatan

Bab 6: Kelahiran

...

Ulasan awal

Saya mengenali Fazlur Rahman melalui perkenalan terhadap karya-karya Prof Wan Mohd Nor. Semasa pembacaan ke atas buku ini kali pertama, hati saya disulami perasaan yang bercampur baur, kerana penulis membawakan sisi sejarah dan beberapa dakwaan yang sedikit sebanyak menggugah kepercayaan tradisi.

Kelihatan penulis mempunyai pandangan yang kritis terhadap lapangan ilmu hadis dengan menyatakan keperluan terhadap kritikan kesejarahan harus dibuat ke atasnya. Berulangkali juga dibawakan beberapa hadis yang kelihatan bertentangan maksudnya dan dijelaskan oleh penulis bahawa ianya mungkin bukan dari Nabi, tetapi kata-kata orang terkemudian.

Saya meragui beberapa matan hadis dan kisah yang dibawa, samada ianya kesilapan penterjemahan atau kesalahan pada peringkat penulis atau saya yang tersilap. Yang pertama pada mukasurat 86, perenggan kedua, ada diceritakan perbezaan kaedah pembahagian tanah rampasan perang oleh Nabi s.a.w dan Umar r.a. Penyusunan perkataan dan penggunaan istilah 'beliau' di situ membawakan bayangan bahawa Umar r.a membahagi-bahagikan tanah di Iraq kepada tentera, sedangkan sebaliknya berlaku.  Bahkan kisah ini masyhur.

Yang kedua pada hadis yang menyentuh perihal memberi upah kepada perawat (mukasurat 132, perenggan terakhir). Di dalam buku ini diceritakan sekumpulan sahabat yang mendatangi suatu perkampungan telah disambut dengan mesra dan baik. Sedangkan dalam matan hadis yang seringkali diperdengarkan kepada saya adalah sebaliknya, sekumpulan sahabat tersebut tidak disambut dengan mesra.

Penulis juga banyak menggunapakai kacamata sejarah dan sosiologi dalam penilaian terhadap perubahan-perubahan di dalam amalan Islam. Sebagaimana dia menyatakan permulaan penggunaan cerai talak tiga pada zaman Saidina Umar r.a adalah kerana ramainya tawanan perang perempuan sehingga menyebabkan ada orang Islam yang bermudahan dalam isu talak. Kenyataan ini saya pertama kali dengar dan agak janggal. Begitu juga penyataan bahawa dua orang saksi perempuan menyamai satu orang saksi lelaki adalah kerana perempuan pada zaman tersebut amat jarang terdedah dengan soal ilmu kewangan.

Penulis cuba mengaitkan punca kepesatan/kemunduran iklim pengetahuan dalam kalangan masyarakat Muslim dengan transisi pada cara pandang terhadap iradat Allah dan kebebasan manusia. Sebagaimana wujudnya aliran Muktazilah, Asyairah dan Sufisme.

Walaupun beberapa pandangannya dan cara fahamnya ada yang tidak dipersetujui, tetapi tidaklah sehingga boleh menafikan bahawa buku ini disusun dengan baik dan penceritaan sejarah perubatan dalam bab 4 merupakan antara yang terbaik.

...

Bab 1

Penulis menyatakan Alam ini tercipta melalui rahmat Allah s.w.t dan segala ciptaannya terbina serasi antara satu sama lain sehingga mampu membentuk alam raya (cosmos) bukannya kekacauan (chaos). Dan Alam ini memerintah sendiri (autonomi) tapi tidak berkuasa mutlak (autokrat) kerana tidaklah mencipta dirinya sendiri.

Dalam bab ini penulis cuba bawakan perbincangan mengenai iradat Allah s.w.t dan kebebasan manusia, serta keupayaan akal dan kepercayaan iman. Kerana setelah kita telusuri pembacaan ke bab-bab yang seterusnya, kita akan mendapati bahawa kefahaman yang berbeza-beza di dalam persoalan sebentar tadi membentuk tingkah laku manusia yang tersendiri dalam mendepani isu kesakitan, perawatan dan penyembuhan.

...

Bab 2

Penulis turut berpegang dengan pandangan segolongan ilmuwan yang menyatakan bahawa perubatan yang terkandung dalam hadis-hadis Nabi s.a.w bukanlah wahyu, tetapi hanyalah kebiasaan serta kearifan setempat pada zaman Nabi s.a.w.

Dibawakan petikan tulisan Ibn Khaldun dalam prolegomena-nya yang mendokong pandangan tersebut dengan mengingatkan mengenai peristiwa kacukan pokok kurma yang tidak berjaya setelah mengikuti saranan Nabi s.a.w.

Penulis juga membawakan perbezaan antara hadis ahl sunnah dan syiah dalam soal kesakitan dan bilakah perlunya untuk mendapatkan rawatan. Jika melalui tradisi hadis ahl sunnah, terdapat padanya banyak galakan untuk mendapatkan rawatan. Manakala hadis syiah lebih banyak yang menuntut agar kesakitan itu ditanggung. Begitu juga dalam Syiah terdapat pandangan yang beranggapan ilmu perubatan ini turut merupakan ilmu yang diwahyukan, maka hanya yang melalui autoriti agama sahaja yang sah digunakan.

...

Bab 3

Dalam bab ini, penulis cuba menghuraikan asal dan sifat perubatan Nabi.

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa penulis berpegang pada pandangan sebagaimana Ibn Khaldun dalam soal samada tibb nabawi merupakan wahyu atau adat, penulis memulakan bab ini dengan menceritakan mengenai kewujudan dua orang tokoh perubatan yang hampir dengan Nabi s.a.w; iaitu Harith ibn Kalada dan anaknya, Nadir.

Kerana dikaitkan bahawa, banyaknya ilmu perubatan yang diketahui Nabi s.a.w adalah daripada hubungan dengan Harith ibn Kalada yang dikatakan pernah menuntut ilmu perubatan dari Jundishapur di Parsi.

Penulis juga menyatakan bahawa tebalnya kitab-kitab tibb nabawi bukanlah kerana banyaknya hadis-hadis perubatan dari baginda Rasulullah s.a.w itu sendiri, tetapi adalah adanya tambahan-tambahan dari pengetahuan perubatan pada ketika zaman penulis kitab-kitab tersebut.

Susulan daripada itu, penulis menimbulkan persoalan, mengapakah para fuqaha dalam agama cuba menulis sesuatu dalam ilmu perubatan dengan tema perubatan kenabian? Terdapat tiga teori yang didatangkan:

1) Ingin menandingi ilmu yang dikatakan berasal dari Galen yang bukan Islam.

2) Usaha para ulama untuk bacaan masyarakat terbanyak dengan menghasilkan kitab ringkas yang mudah faham.

3) Cubaan islamisasi ilmu perubatan.

Teori yang pertama nyata tidak benar, kerana rata-rata kitab tibb nabawi turut memuatkan pandangan-pandangan tokoh perubatan Yunani disamping menggunakan teori Yunani dalam menjelaskan keberkesanan perubatan Nabawi.

Teori yang kedua ada benarnya, kerana kitab tibb nabawi yang ada, kebiasaannya tidak membincangkan teori perubatan secara mendalam dan hanya memuatkan petua-petua untuk kesakitan ringan. Ianya dibuat atas semangat ingin berbakti kepada masyarakat terbanyak.

Teori yang ketiga adalah yang dianggap pandangan terkuat oleh penulis.

...

Bab 4

Bab ini memuatkan sejarah perubatan dan institusi kesihatan yang tercatat dalam tamadun Islam.

Dinyatakan penubuhan hospital-hospital (bimaristan), kebajikan kesihatan terhadap banduan dan orang luar bandar, gaji doktor dan tugasan-tugasan yang terdapat di hospital.

Melalui kewujudan hospital telah memudahkan catatan pemerhatian klinikal yang lebih baik, menjadi pemula kepada banyaknya kitab-kitab tajribat dapat dihasilkan.

Turut diceritakan mengenai ujian kelayakan doktor yang dilakukan oleh Sinan Ibn Thabit atas arahan khalifah ketika itu untuk mengelakkan penipuan doktor-doktor palsu. Begitu juga jabatan Hisbah untuk mengawasi kualiti rawatan para doktor.

Di penghujung bab, dihuraikan mengenai perubatan rohani. Terdapat dua jenis perbahasan, pertama adalah kesembuhan melalui jalan kerohanian. Kedua adalah penyakit yang disebabkan kerohanian. Zakaria al-Razi ada menulis kitab dalam perubatan rohani yang diberikan judul; al-Tibb al-Ruhani.

...

Bab 5

Adab merupakan satu aspek yang penting untuk melengkapi seorang profesional selain daripada kemahiran dalam profesyen itu sendiri. Ishaq ibn Ali al-Ruhavi ada mengarang kitab Adab al-Tabib untuk menerangkan adab-adab sebagai seorang perawat.

Dalam bab ini juga turut diterangkan mengenai kemuliaan insan dan keluarga selaku satu unit sosial.

Akhir bab, penulis memberikan pandangannya dalam beberapa isu bioetika seperti hukum derma organ, manipulasi genetik dan bayi tabung uji.

Saya tertarik pada kenyataan penulis pada perenggan terakhir:

"Sekarang persoalan yang sering ditanya adalah, 'Adakah kematian boleh dielakkan?' Sebelum menjawab, tanyakan soalan ini dahulu, 'Adakah kehidupan tanpa kematian dikehendaki?' "

...

Bab 6

Permulaan bab menerangkan pendirian Islam dalam soal peranan air mani lelaki dan air mani perempuan dalam pembentukan manusia. Kerana pada zaman dahulu, terdapat perbezaan pandangan antara Aristotle dan Galen dalam menyatakan adakah air mani perempuan bersifat pasif atau sebaliknya.

Kemudian dihuraikan panjang mengenai pencegahan kehamilan, adakah dibolehkan atau sebaliknya. Setelah itu dijelaskan pula mengenai keseksualan. Penulis menyinggung beberapa kisah ahli Sufi dalam perihal ini.

Akhir sekali diterangkan mengenai kematian dan persoalan-persoalan seperti adakah akan terus dihisab atau diseksa terlebih dahulu dalam kubur.

...

Buku ini saya anggap akan lebih mudah dihadam sekiranya pembaca telah terlebih dahulu punyai asas dalam sejarah pemikiran Islam dan sejarah ilmu perubatan.

Pembaca mungkin akan merasa agak tidak selesa dengan cara pemahaman yang dibawa oleh penulis berkenaan ahl sunnah dan sufisme. Tetapi jika diamati dengan cermat dan tenang, kita akan menemui asas kepada terbitnya pemahaman sedemikian. Adapun begitu, tidaklah bermaksud kita boleh menyetujui semua yang dikatakan.

No comments:

Post a Comment