Saturday, July 1, 2017

Catatan Buat Anakku: Detik-Detik Kelahiran

Catatan buat anakku: Demi Kelahiranmu Sayang

Umi membesarkanmu dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan walaupun tanpa abi di sisi sejak usiamu mencecah 5 bulan dalam kandungan. Gembira bukan kepalang apabila umi dapat tahu abi dapat pulang awal sebulan untuk temannya bersalinkan sayang.

Anakku sayang, seronok ye berada dalam rahim umi? Sampai tibanya umur 41 minggu masih tidak mahu tunjukkan tanda-tanda mahu keluar? Umi abi rindu nak tatap wajah sayang.

Maka, umi abi pun buat keputusan mengikut nasihat doktor untuk melalui teknik cetusan proses bersalin (induction of labour). Katanya kena hadir ke hospital pada 5 Mei, hari Jumaat. Kami pun datang awal pagi, pukul 9 pagi lagi kami sudah daftar sayang. Disebabkan sayang umi abi ni kuat dan sihat keadaannya, tidaklah umi  diutamakan dalam menerima bilik wad. Tambahan lagi wad rata-ratanya penuh. Alhamdulillah setelah menunggu sehingga jam 11 malam, umi dipanggil dan dimasukkan ke dalam wad. Ada rezeki kekosongan di wad kelas dua. Abi pun mulakan malam pertama di ruangan menunggu bersama para suami yang lain.

Abi jumpa ramai kawan. Benarlah bersikap ramah dan membuat rakan benar-benar menyebabkan kita mampu merasai sama kegembiraan para suami yang lain tatkala mereka telah selamat menerima cahaya mata. Setidaknya rasa gusar dan gelisah menanti nasib umi dan sayang tidaklah begitu mengganggu fikiran abi. Abi jumpa macam-macam ragam dan keadaan manusia sayang. Seronok lihat mereka seronok.

Esoknya, umi dijadualkan untuk menerima prostin pada sebelah petang. Kesian umi, sakit sangat. Ada org, dos pertama tak rasa apa-apa. Tapi untuk umi, sakit sangat. Merah muka umi menahan sakit. Kawan-kawan pesan, "Ilman, kau kena kuat dpn isteri kau." Abi cubalah untuk tahan dari tumpahnya air mata. Siapa sanggup tengok isteri sakit. Lebih merisaukan apabila tamatnya waktu melawat. Kesian umi.

Malamnya, sebab umi tak tahan dgn kesakitannya, umi tidur setelah disuntik ubat penahan sakit. Esoknya, abi cuba buat-buat kuat apabila bertemu dgn umi. Masuk kali ketiga umi terima prostin; sebelah pagi dan petang. Kesian umi sakit. Doktor akan periksa setiap 6 jam, abi pun menantilah dgn penuh kerisauan pada sebelah malam nak tahu apa keputusan terkini pemeriksaan bukaan. Jam 9.30 malam, umi mesej abi beritahu masih 1cm. Ya Allah..basah mata abi tak mampu tahan kenangkan kesakitan yg umi rasai, secara fizikalnya dan emosinya. Abi terus keluar dari bilik ruangan menunggu, menangis sepuas-puasnya di luar. Rasa x mampu dah nak pura-pura senyum dan gembira bersama dengan suami-suami yang lain. Mereka datang sejam dua, terus keluar dengan muka kegembiraan. Paling lama pun hanyalah seharian semalaman menunggu.

Kami sangka umi hanya akan melalui tiga kali induce sahaja, dan akan diputuskan untuk melalui pembedahan caeserian selepas itu. Jangkaan kami silap, pagi hari isnin setelah cek bukaan sekali dimasukkan prostin kali keempat, tanpa dimaklumkan management plan kepada umi. Kesian umi, sudahlah hari Ahad hanya mampu makan dua tiga suap nasi sahaja sebab tak mampu menahan sakit seharian. Pagi-pagi esoknya, tak sempat nak sarapan, terus dimasukkan prostin kali keempat. Allah..seksanya sakit umi. Abi setiap pagi akan balik ke rumah sebentar untuk mandi dan solat, masa abi dpt berita tersebut, abi masih dlm perjalanan untuk ke hospital. Sekali lagi meruntun rasa hati, luruh deras air mata. Kesiannya isteriku.

Abi naik atas pkul 7.30 pagi nak naik wad, dgn harapan dapat masuk bagi sarapan dan suapkan sikit makanan. Tapi tiada siapa mendengar abi tekan-tekan loceng luar wad, abi faham bukan waktu melawat, jadi abi turunlah ke bawah semula dgn berderai air mata.

Tengah kesedihan seorg diri, terjumpa seorang abang yg abi berkenalan semasa menunggu isteri bersalin. Dia tenangkan abi dan bawa ajak minum teh di kafe. Abi menangis ceritakan kekesalan abi dengan tindakan doktor yang tak kongsikan pada pesakit apa pelan tindakan susulan pada ibu mengandung dan mengapa tidak minta izin terlebih dahulu sebelum dimasukkan dos kali keempat. Akhirnya, abi dan abang tersebut bersama-sama salurkan aduan mengikut laluan yang sewajarnya. Kami brjumpa dengan pegawai perhubungan luar, kemudiannya dibawa bertemu dengan matron yang bertugas. Setelah itu, dibawa mendapatkan penjelasan daripada seorang doktor yang bertugas pada pagi tersebut. Alhamdulillah, tidak susah menyampaikan aduan melalui saluran rasmi.

Abi betul-betul rasa tak kuat sangat dah waktu tu. Bersyukur pada Allah, didatangkan kepada abi seorang demi seorang suami-suami yang abi buat rakan di bilik menunggu berjumpa abi. Seorang-seorang bagi semangat dan berkongsi kekuatan. Indahnya rasa persahabatan biarpun hanya kenal seketika. Benarlah, bersikap ramah tidak akan pernah merugikan sesiapa. Petang itu, ada seorang rakan yang anaknya dilahirkan secara pembedahan berjumpa dengan abi. Selepas mana abi luahkan keserabutan pada dia, dia dengan tenang beritahu anaknya ada tanda-tanda down syndrome dan dia belum beritahu pada isterinya. Abi tersentak sayang. Lagi-lagi setelah dia sebut pada abi; "Aku selalu ingat dua benda. Pertama, Allah tidak cipta sesuatu sia-sia. Kedua, Allah tidak jadikan suatu keadaan itu tanpa sebab." Entah mengapa, nasihat yang ringkas sedemikian dirasa sangat menyerap ke dalam lubuk hati dan serasa sangat ikhlas sekali dituturkan. Terima kasih ya Allah.

Sepanjang pagi umi sekali lagi tanggung kesakitan. Pada sebelah petang, doktor panggil untuk bertanya apa keputusan kami, adakah teruskan proses cetusan dengan memasukkan drip pitocin atau terus pada caeserean secara elektif. Doktor maklumkan, bukaan sudah melembut dan sudah membuka 2cm. Kami berbincang dan doktor kongsikan yang ada kes 4x prostin seperti ini juga, tetapi berjaya bersalin tanpa perlu caeserean kemudiannya. Beliau tidak boleh beri jaminan, tetapi tidak salah untuk mencuba. Biarpun umi seksa menanggung dua hari kesakitan diinduce, setelah berbincang umi tekadkan untuk meneruskan perjuangan cuba bersalinkan sayang secara normal. Biarpun pada awalnya kami dah bersedia untuk ceaser kerana ciri-ciri yang ada pada umi, ada padanya risiko terjadinya saiz kepala bayi tidak muat memasuki pinggul ibu (cephalopelvic disproportion). Tetapi semua orang mencadangkan untuk mencuba dahulu, supaya kita dapat pastikan benar-benar asumsi tersebut.

Maka malamnya jam 7.45 malam, umi dimasukkan drip pitocin di bilik bersalin. Abi mulanya menunggu sahaja di ruangan suami. Jam 10 malam abi jadi tak sedap hati. Abi segera masuk ke dalam, bertanyakan pada jururawat disana, rupanya abi dah boleh masuk teman umi. Bergegaslah abi ke bilik dimana umi ditempatkan. Ketika abi masuk, umi kelihatan tersangat-sangatlah tak mampu menahan sakit. Abi cuba kuatkan diri, tak mahu menangis depan umi. Selama 12 jam umi berjuang menahan kontraksi sehingga ada ketika doktor menaikkan kadar drip pitocin sehingga 90ml/jam. Bacaan tocogram menunjukkan 199* dan jarang-jarang dibawah 100. Allah..sakitnya isteriku. Merayu-rayu umi minta dihentikan, umi kata umi dah tak larat. Tapi jururawat yang ada tak bagi, doktor suruh cuba sampai 7.45 pagi. Abi sampai bergaduh dengan jururawat sebab nak minta dikurangkan kadar pitocin kepada hanya 45ml/jam sahaja setelah mana dah mencuba sehingga 9 jam, tapi tetap tak dibenarkan. Bukaan terhenti hanya pada 6 cm. Setelah 12 jam berjuang, umi dirujuk kepada pakar dan diarah untuk dihantar ke bilik bedah untuk ceaserian.

Sekali lagi abi tak mampu tahan tangisan. Tak sanggup bila kenangkan banyaknya kesakitan yg perlu dihadapi umi. Tapi umi tenang sahaja. Abi pula yang lebih-lebih. Kuatnya semangat dan jiwa umi.

Alhamdulillah pada jam 10.22 pagi, sayang selamat dilahirkan. Comel sangat. Terima kasih ya Allah kurniakan kepada kami cahaya mata yg amat berharga buat kami ini.

Sayang, tatkala kamu sudah besar nanti, ingatlah catatan ini, janganlah dilupa kesakitan umimu. Tiap kali tibanya hari jadimu, sampaikanlah ucapan tahniah dan terima kasih kepada umi, kerana pada dialah yang perlu disampaikan penghargaan tersebut.

Terima kasih ya Allah..Terima kasih isteriku atas pengorbananmu.

No comments:

Post a Comment