Thursday, July 13, 2017

"Blood & Guts: A Short History Of Medicine"



Buku ini merupakan olahan daripada siri-siri syarahan oleh salah seorang historian perubatan; Roy Porter (meninggal: 2002) yang pernah berkhidmat di Wellcome Trust Centre for History of Medicine, University College London.

Buku kecil ini setebal 199 mukasurat dan memuatkan 8 bab:

1. Disease
2. Doctors
3. The Body
4. The Laboratory
5. Therapies
6. Surgery
7. The Hospital
8. Medicine in Modern Society

...

Ulasan awal

Pertamanya, tajuk buku ini tidaklah menggambarkan isi kandungannya dengan tepat. Kerana buku ini lebih bertujuan menjelaskan sejarah ringkas perubatan Barat (sebagaimana yang dinyatakan oleh penulis sendiri dalam prakata), bukanlah sejarah perubatan dunia keseluruhannya sebagaimana yang cuba dilakukan dalam karangan utamanya; The Greatest Benefit For Mankind: Medical History of Humanity.

Jadi, bagi mereka yang mengharapkan bacaan yang dapat menghidangkan maklumat berkenaan aliran perubatan tradisi, ini bukan bukunya.

Keduannya, buku ini sangat banyak menumpukan kepada pencapaian yang digapai oleh dunia penyelidikan Barat pasca kurun ke-19. Sebagaimana kita rata-ratanya maklum bahawa memang berlaku kelompongan yang besar antara zaman Galen sehinggalah era Paracelsus untuk menceritakan mengenai perubatan Barat.

Ketiganya, saya tidaklah berapa menyetujui untuk melabelkan ilmu perubatan yang dipelajari serta diamalkan hari ini dengan gelaran perubatan Barat. Biarpun kebanyakan pencapaian dalam perubatan hari ini bermula di Barat, tetapi sumbangan berterusan dalam membentuk kefahaman manusia terhadap ilmu perubatan adalah dari pelbagai benua dan budaya. Perubatan adalah satu aliran, ia hanya satu. Tiada Barat, tiada Timur.

Keempat, saya lebih menyenangi cara penulis dalam pembahagian bab dalam buku ini. Berbanding kebanyakan pengarang buku sejarah perubatan yang lebih gemar menyusun bab ke bab menurut susunan kronologi masa, Porter menyusunnya menurut tema-tema tertentu yang dianggap asas dalam perkembangan perubatan. Jadi kita tidak begitu mudah celaru dalam melihat rantaian pencapaian dalam tema-tema yang berbeza dalam sumbangannya terhadap ilmu perubatan.

Kelima, penulis turut menyediakan di bahagian akhir bukunya senarai buku-buku yang boleh dirujuki pembaca jika ingin melanjutkan bacaan lebih mendalam dalam sejarah perubatan. Ini sangat baik dan membantu.

...

Bab 1: Disease

Penulis memberikan tinjauan ringkas terhadap sejarah evolusi manusia semenjak mulanya keberadaannya di dunia (menurut pandangan mereka).

Bukanlah fokusnya terhadap teori evolusi tersebut, tetapi ingin ditekankan mengenai perubahan cara manusia kendalikan diri mereka seiring dengan perkembangan populasi antara mereka.

Semasa bilangan manusia masih dalam kuantiti yang sedikit, penyakit berjangkit tidak menjadi ancaman kepada mereka. Kerana bilangan yang ada tidak cukup ramai untuk memungkinkan komuniti tersebut berisiko dengan tularan penyakit.

Kehidupan nomad, sentiasa berpindah randah juga menjadi salah satu faktornya. Kadar masa yang sebentar menempati sesuatu kawasan tidaklah memadai untuk mencemari kawasan tersebut. Selain daripada ketika itu juga, ternakan haiwan belum menjadi amalan. Justeru terhindar daripada kuman yang berasal dari binatang ternak kemudiannya seperti TB, small pox yang berasal dari lembu, dan rhinovirus yang diperoleh dari kuda.

Tatkala manusia mula memilih untuk bermaustatin di satu-satu kawasan. Mereka mula beranak pinak menjadi ramai, seterusnya secara tidak langsung telah membuka risiko kepada penularan penyakit. Pencemaran kawasan yang diduduki juga menarik serangga perosak yang menjadi perumah kepada penyakit yang berbagai. Begitu juga keperluan untuk mendapatkan makanan melalui ternakan dan pertanian telah membawa kepada penyakit-penyakit yang berpindah dari binatang. Pengambilan nutrisi yang terlalu bergantung pada pertanian juga telah menyebabkan mereka terdedah pada malnutrisi seperti marasmus, kwashiokor dan pellagra.

Terdedah kepada penyakit-penyakit baru, merupakan suatu bencana buat manusia. Kerana tubuh tidak pernah mengenali ancaman yang hadir, dan seringkali berakhir dengan kematian. Mereka yang terselamat kemudiannya telah beransur-beransur melahirkan generasi yang lebih kuat melawani penyakit yang pernah menjadi suatu kepayahan buat nenek moyang mereka. Sebagaimana dianggap terdapat perkaitan antara tingginya insiden sickle cell di kalangan kaum Afrika kerana tubuh mereka beradaptasi untuk berhadapan dengan penyakit malaria yang mengganas di sana.

Selepas penulis menjelaskan bagaimana penyakit mula dikenali dalam dunia manusia, Porter seterusnya membawakan beberapa rakaman sejarah penularan wabak yang amat menakutkan pada generasi terdahulu.

Wabak Athens (430 SM)
Wabak Antonine (165-180)
Wabak Justinian (540)
Black Death (circa 1300)

Kesemua kejadian wabak ini terjadi sangat berkait dengan beberapa faktor:

1.Perdagangan
2. Perluasan kuasa
3. Peningkatan populasi

Begitu juga yang dapat dilihat pada penerokaan Dunia Baru (New World) oleh Columbus telah memindahkan penyakit swine flu, small pox ke tanah yang mereka terokai. Begitu juga mereka turut membawa pulang penyakit malaria dan yellow fever ke tanah asal mereka sejurus pulang.

Tatkala kemajuan semakin dikecapi, manusia mula terdedah dengan penyakit yang berbagai selain daripada yang boleh berjangkit, begitu juga yang bersifat kronik dan tidak berjangkit seperti gout dan penyakit koronari.

Bab ini saya anggap akan jadi lebih sempurna jika diterangkan bersama antara dua aliran fahaman berkenaan kaedah penularan penyakit; antara 'miasmatic' dengan 'contagionist'. Begitu juga penumpuan penyakit lebih kepada penyakit berjangkit, tidak kepada penerangan mengenai fahaman empat humor (diceritakan di bab kedua).

...

Bab 2: Doctors

Hanya menyentuh sedikit berkenaan pengamal perubatan dari peradaban selain Barat seperti Mesir (Imhotep) dan Mesopotomia (bârû, âshipu dan âsû) sebelum meneruskan penerangan panjang mengenai Asklepios, Hippocrates dan Galen.

Di Greek, perawat terawal yang dikenali adalah Asklepious yang kemudiannya telah dianggap sebagai anak kepada tuhan Apollo. Sering digambarkan bersama tongkat dan ular yang kemudiannya menjadi simbolik lazim kepada lapangan perubatan (caduceus sign). Kaedah perawatan ketika itu dipenuhi dengan mitos ketuhanan yunani. Mereka melaksanakan rawatan di kuil yang dibina dengan meletakkan pengharapan Asklepius akan menyembuhkan pesakit.

Sehingga tahun 200 SM, setiap bandar (polis)  telah terbina banyak kuil dengan tujuan yang sama, tertutamanya di tempat kelahiran Hippocrates (Bapa Perubatan Barat - 460-377 SM); Pulau Cos.

Biarpun begitu, Hippocrates tidak meneruskan legasi fahaman sedemikian dalam merawat pesakitnya. Beliau telah menyingkirkan unsur mistikal dari dunia perubatan dan menumpukan pada kaedah alami dalam merawati tubuh. Untuk menjelaskan sifat tubuh manusia, beliau membina teori empat humor (akhlat / bendalir) yang menjadi asas kepada lapangan perubatan hampir dua ribu tahun lamanya.

Tamadun Yunani amat menghormati tubuh manusia selaku microcosm kepada alam yang lebih besar, mereka tidak melakukan pembedahan ke atas tubuh manusia. Oleh kerana itu, pengetahuan mereka amat terbatas mengenai anatomi manusia.

Hippocrates sering lebih dikenali dengan akur-janji yang disandarkan kepasanya; Hippocratic Oath.

Intipati janji yang paling utama adalah untuk tidak melakukan mudarat (primum non nocere).

500 tahun kemudiannya, lahir seorang lagi tokoh perubatan yang penting dalam dunia perubatan di Pergamon (terletak di Turki hari ini). Galen yang mengaut pengalaman merawat di empayar Romawi dengan penuh bangga berkata:

"I alone, who have revealed true path of medicine ... He (Hippocrates) prepared the way, but i have made it passable"

Hadirnya dua tokoh ini ke dunia perubatan telah mengukuhkan perkembangan perubatan yang berasaskan pembuktian dan pengalaman. Jauh dari unsur mistikal dan pengharapan pada perkara ghaib.

Pasca kedatangan agama kristian ke Rom telah merubah suasana ini kemudiannya. Lapangan perubatan dilihat mencabar agama, "ubi tre physici, due athei" (pada setiap tiga orang pengamal perubatan, terdapat padanya dua atheis). Amalan perubatan dan pewarisan ilmunya kemudian hanyalah berlegar sekitar komuniti gereja semata-mata. Amalan pengharapan pada Tuhan sebagaimana di kuil-kuil Asklepius kembali dihidupkan.

Lapangan perubatan seterusnya diteruskan perkembangannya oleh peradaban Islam sehinggalah dunia Eropah berjaya melepaskan diri daripada gelapnya kejahilan mereka.

Kebangkitan semula dunia Barat dalam mengetuai lapangan perubatan bermula di Itali, di bawah kendalian pusat pengajian Salerno. Para pelajar di sana menuntut selama 7 tahun sebelum dibenarkan untuk berkhidmat selaku perawat.

Setelah bilangan doktor semakin meningkat, pergerakan mereka diaturkan oleh persatuan-persatuan yang melindungi dan memantau mereka.

Disebabkan pilihan rawatan yang benar-benar efektif pada ketika itu sangat terhad, para doktor punyai dua pilihan ketika berhadap pesakit: samada mengikut jalan Hippocrates yang lebih kepada memantau serta menasihati bentuk diet dan pergerakan badan, memberikan kata-kata ransangan serta perhatian dengan teliti kepada pesakit. Ataupun mengikuti langkah Galen yang lebih heroic dengan merangsang muntah mahupun menyingkirkan darah (bloodletting). Biarpun begitu, pesakit biasanya mempunyai pendirian tersendiri dalam memilih jenis rawatan yang baginya lebih efektif untuk dirinya.

Hampir keseluruhan pharmacopeia ketika dahulu adalah sia-sia dan tidak mampu menyembuhkan. Keberkesanan yang dirasai samada dipengerahui efek placebo atau limitasi keseriusan kebanyakan sakit yang baik dengan sendirinya.

Sebagaimana petikan kata-kata Oliver Wendell Holmes Sr. pada tahun 1860:

"... I firmly believe that if the whole materia medica [medical drugs], as now used, could be sunk to the bottom of the sea, it would be all the better for mankind,—and all the worse for the fishes. "

Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa ubatan yang digunakan terdahulu terbukti berkesan seperti quinine, opium, colchicine, digitalis dan amyl nitrate.

Kelompongan pada keberkesanan terapi rawatan zaman itu telah melahirkan fahaman therapetic nihilism yang menganggap bahawa kita hanya mampu mengenali penyakit, tetapi tidak akan mampu merawatnya.

Rentetan daripada itu, perawat ketika zaman dahulu lebih menumpukan kemahiran diagnosis dan prognosis berbanding perawatan. Demi memberikan rasa kesenangan dalam diri pesakit, para doktor memahirkan diri dengan sikap, kemahiran berkomunikasi, empati yang baik. Bedside manner dianggap antara kompenen yang utama dalam rawatan ketika dulu.

Skil pemeriksaan pesakit untuk diagnosis telah diperhalusi selain dari penciptaan alat bantu seperti stethoscope, thermometer dan sphygmamometer banyak membantu dalam mengkelaskan penyakit dan menambah kenyakinan pesakit.

Biarpun begitu, sehingga kurun ke-19, keberkesanan kaedah-kaedah rawatan masih menghampakan. Ini menjelaskan fenomena penggunaan opium yang berleluasa demi mengurangkan kesakitan yang dirasai.

Pasca zaman Pasteur, Koch, Ehrlich dan Flemming, umat manusia seakan telah menenui jalannya untuk memenangi perperangan dengan penyakit. Penemuan pelbagai ubat-ubatan yang benar-benar berkesan telah mengubah cara kebanyakan perawat berinteraksi dengan pesakit. Seni memenangi hati pesakit semakin memudar. Muncul advokasi yang menggesa-mengingatkan kepada seluruh pengamal perubatan agar tidak lupa hakikat bahawa pesakit itu adalah manusia dan kita sedang merawati manusia bukan penyakit semata.

Sebagaimana kata-kata Sir William Gull; "Never forget that it is not pneumonia, but a pneumonic man who is your patient."

Begitu juga kata-kata William Osler; "The good physician treat the disease, but the great physician treat the patient."

Jika semasa hangatnya iklim therapeutic nihilism telah menjadi punca kepada kemunculan aliran perubatan seperti homeopathy dan hydropathy. Pasca therapeutic revolution pula telah menyaksikan kembalinya subur kemunculan perubatan 'alternatif' seiring dengan peningkatan birokrasi dan pemisahan jabatan-jabatan bidang dalam perubatan. Seakan sedikit merapuh sifat manusiawi dalam perawatan apabila para doktor terlalu sibuk, terlalu khusus dengan kerja sendiri dan terlalu tumpu pada penyakit. Pesakit mencari alternatif yang mampu menawarkan kelegaan dan penghargaan kepada diri biarpun tidak berkesan.

...

Bab 3: The Body

Pemahaman manusia terhadap tubuh badannya semakin lama semakin mendalam pengetahuannya.

Jika dahulu agak terbatas untuk meneliti organ dalam badan kerana amalan membedah tubuh dilarang kerana menghormati kemuliaan tubuh insan, hari ini telah kita berjaya mengenal pasti dengan lebih jelas setiap struktur dan fungsi organ di dalam badan kita.

Galen menganggap isi badan manusia sama strukturnya dengan haiwan, disebabkan itu terdapat beberapa kesalahan dalam pandangan klasik mengenai organ seperti menganggap hati mempunyai lima bahagian (lobe) dan jantung hanya mempunyai tiga ruangan.

Pembedahan tubuh yang dibuat secara terbuka untuk pendidikan awam pertama kali dilakukan pada tahun 1315 di Bologna oleh Mondino de Luzzi. Penulisan beliau mengenai anatomi tubuh badan; Anotomia Mundini telah menjadi teks pengajaran kemudiaannya. Pembedahan pada zaman tersebut dibuat hanya ke atas penjenayah dan di buat pada musim sejuk untuk melambatkan proses pereputan.

Bermula kurun ke-16, lahir satu persatu anatomist yang hebat dari Universiti Padua. Bermula dari kemunculan Andreus Vesalius, lahir pada tahun 1514. Karya agungnya; de fabrica corporis humani telah memuatkan deskripsi yang tepat dan jelas berkenaan organ dalam badan. Sekaligus menolak beberapa dogma klasik yang berakar dari fahaman Galen. Biarpun tidak semudah itu masyarakat menerima fakta terbaru, tetapi tindakan Vesalius menjadi pemula kepada iklim inquiri yang baharu dalam berhadapan dogma-dogma lampau.

Seterusnya, muridnya Gabrielle Follopio (1561) telah menemui saluran yang menyambungkan rahim dengan ovari (kemudiannya diberikan nama fallopian tube). Akan tetapi fungsi tiub itu belum dapat dikenalpasti. Perihal ini menjelaskan bahawa mengenalpasti struktur tubuh lebih mudah berbanding memahami fisiologi badan. Ia mengambil masa.

William Harvey, lahir pada tahun 1603 pula telah membetulkan pegangan silam mengenai peredaran darah yang menganggap darah tidak beredar dalam satu pusingan lengkap.

Penemuan demi penemuan di dalam bidang anatomi dan fisiologi berterusan menjelang tahun 1700, tetapi pencapaian di dalam perawatan masih menghampakan.

Selepas era pencerahan, perbincangan mengenai tubuh dan roh telah mengambil tempat. Herman Boerhaave (1668-1738) mengatakan bahawa rahsia mengenai kehidupan hendaklah diserahkan kepada pendeta, lapangan perubatan hanya perlu berurusan dengan persoalan 'bagaimana' bukan 'mengapa' dalam menggali persoalan-persoalan kehidupan.

Pada kurun ke-17 juga telah menyaksikan pengenalan kepada ilmu pathologi yang dirintis oleh Giovanni Battista Morgagni (1682-1771). Penulisannya mengenai hal ini diberikan nama judul; de sedibus et causis morborum (mengenai lokasi dan sebab penyakit). Beliau mengenalpasti perubahan-perubahan yang berlaku pada tisu organ-organ tertentu menurut jenis-jenis penyakit.

...

The Laboratory

Permulaan kepada siri-siri penemuan dalam sains perubatan serta penciptaan alat bantu diagnosis sering dikaitkan dengan penciptaan Stethoscope oleh Rene Laennec (1781-1826) pada tahun 1816. Beliau dengan menggunakan alat berukuran panjang 9 inci (tidak sama rekaannya seperti mana yang dikenali hari ini) tersebut telah mengenalpasti jenis-jenis bunyi pernafasan dan penyakit yang menyebabkannya. Sehinggalah penemuan mesin x-ray pada tahun 1895, stethoscope menjadi alatan yang penting dalam amalan perubatan.

Pierre Louis dari Perancis pula telah menyusun kaedah yang sistematik untuk melakukan ujian klinikal. Begitu juga beliau menjelaskan kepentingan meneliti petanda (sign) penyakit lebih penting berbanding gejala (simptom) yang dirasai pesakit. Hospital di Perancis yang besar dan lebih teratur pengurusannya memungkinkan kelahiran suasana kajian secara teliti dibuat terhadap pelbagai jenis penyakit secara teratur.

Di Jerman pula melalui institut kajian Liebig telah mengusahakan kajian ke atas proses metabolisme badan dengan meneliti apakah yang memasuki tubuh dan apa pula bahan kumuh yang disingkirkan kemudiannya.

Selepas penambahbaikan dilakukan ke atas mikroskop pada tahun 1830, Theoder Schwann telah meneruskan kajian ke atas sel badan berbanding hanya sel tumbuhan oleh Hooke. Pemahaman dan penelitian terhadap struktur sel telah membuka teori baru berkenaan punca penyakit. Jika Pasteur mendapati wujudnya kuman (faktor luar) yang menyebabkan penyakit, Rudolf Virchow pula menyatakan punca penyakit datangnya dari perubahan fungsi dalam sel.

Louis Pasteur (1822-1895) telah menemukan teori mengenai kuman (germ theory) dengan membukti kewujudannya melalui eksperimen terhadap pereputan makanan. Melalui teori ini telah menjawab pertikaian panjang antara golongan miasmatic (penyakit tersebar dari udara yang tidak baik) dengan contagionist (penyakit merebak dari individu yang berjangkit). Teori ini membukti ada mikroorganisme yang menjadi penyebab terjadinya penyakit tertentu, dan dunia perubatan hendaklah mencari jalan untuk menewaskan hidupan kecil tersebut.

Teori Pasteur diperkukuhkan lagi oleh Robert Koch dari Berlin yang amat dikenali sumbangannya melalui Koch postulate. Beliau memudahkan saintis seterusnya membuat kajian dan kesimpulan dalam menentukan apakah organisme tertentu yang menyebabkan penyakit tertentu pada pesakit.

Tentunya penemuan Pasteur dan Koch ini amat membantu kepada dunia Barat yang ketika itu sangat penuh dengan cita-cita politik dan ekonomi. Kerana mereka berhadapan cabaran penyakit tropikal di negara-negara yang dijajah seperti malaria dan scistosomiasis. Kerana untuk berhadapan masalah, perlulah dikenalpasti puncanya.

Lapangan pengetahuan mengenai nutrisi juga semakin meluas seiring perkembangan teknologi dan fasiliti kajian. Bermula pada tahun 1747, di dapati tentera yang berlayar di lautan seringkali menghidapi penyakit scurvy. James Lind telah membuat ujikaji kepada pelayar-pelayar yang menghadapi masalah ini dengan memberikan makanan-makanan tertentu. Didapati pemberian buah-buahan citrus mampu mengatasi penyakit ini, justeru bekalan buahan ini telah dijadikan kemestian untuk belayar. Pada tahun 1928, barulah dapat dikenal pasti bahan aktif yang bertanggungjawab mengelak berlakunya scurvy iaitu vitamin C.

...

Bab 5: Therapies

Setelah sekian lama pengetahuan mengenai ubatan dan rawatan ketinggalan berbanding pengetahuan perubatan selainnya,  kurun ke-19 menyaksikan permulaan kegemilangannya.

Semuanya bermula setelahmana telah wujudnya pengkajian makmal yang teratur seterusnya membuka bidang baharu; sains bioperubatan menjadi pemangkin kepada keberjayaan ini.

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, rata-rata ramuan ubat yang terdapat dalam pharmacopoeia zaman sebelum ini adalah tidak berkesan dan berguna. Perlulah juga dijelaskan bahawa peranan ubatan ketika dahulu tidaklah memainkan peranan utama sebagaimana hari ini. Dahulu, akan lebih diutamakan pada regulasi diet, persekitaran serta teknik bloodletting dan merangsang muntah. Kebanyakan ramuan ubatan yang diatur adalah berdasarkan fahaman empat humor, diadun dan diberikan untuk menyeimbangkan apa yang telah kekurangan dalam badan.

Bermula kurun ke-19, institusi penyelidikan dan firma ubatan berkerjasama dalam penghasilan ubatan secara sistematik untuk memudahkan capaian pada pengguna serta dilihat terdapatnya potensi untuk meraih keuntungan.

Pada kurun ke-19, institusi penyelidikan dan firma ubatan berkerjasama dalam penghasilan ubatan secara sistematik untuk memudahkan capaian pada pengguna serta dilihat terdapatnya potensi untuk meraih keuntungan. Bermula dengan penghasilan opium untuk melegakan kesakitan yang dirasai.

Paul Ehrlich (1854-1915) berusaha menjadi bahan kimia yang mampu menyelesaikan penyakit tertentu. Beliau terinspirasi dengan sistem imun tubuh yang bersifat spesifik kepada kuman tertentu. Maka, impian beliau untuk mencari bahan kimia yang mampu bersifat sedemikian (spesifik) serta dalam masa yang sama tidak membahayakan tubuh pesakit. Pada tahun 1907 setelah cubaan demi cubaan, sehingga lebih 600 arsenik telah diuji, akhirnya beliau menemui salvarsan yang mampu membunuh Treponema pallidum, penyebab kepada Syphilis.

Kejayaan Ehrlich telah diteruskan oleh Gerhard Domagk dari Jerman dengan penemuan keberkesanan Protonsil untuk mengubati penyakit yang disebabkan oleh bakteria streptococcus. Kemudiannya telah dikenalpasti bahan aktif yang bertanggungjawab di dalam protonsil tersebut adalah sulphanilamide.

Penemuan penicillin secara tidak sengaja oleh Alexander Flemming pada tahun 1938 juga sangat bernilai kepada dunia perubatan. Satu persatu keajaiban yang ditemui ini telah menaikkan lagi motivasi  para pengkaji bahawa impian tokoh silam, Thomas Syndenham yang mengimpikan setiap penyakit akan terdapatnya ubatan yang khusus hampir menjadi kenyataan.

Dituruti penemuan streptomycin (untuk TB) pada tahun 1944 oleh dan acyclovir (antiviral) pada tahun 1970 telah menjadikan dunia perubatan lebih dinyakini. Tiada lagi iklim therapeutic nihilism dirasai.

Biarpun begitu, dunia farmakeutikal tidak hanya yang indah semata. Beberapa kesilapan turut dirakam sejarah. Sebagaimana penggunaan Thalidomide telah dihentikan pada tahun 1961 kerana didapati menyebabkan kecacatan pada bayi dalam kandungan. Begitu juga oestrogen DES yang pada digunakan untuk mengelakkan keguguran telah didapati meningkatkan risiko berlakunya kanser vagina.

...

Bab 6: Surgery

Pengamatan terhadap tulang temulang nenek moyang dahulu mendapati teknik menebuk tengkorak kepala (trepanning) telah menjadi amalan semenjak tahun 5000 SM lagi. Dianggap berkesan dalam menyahkeluar roh jahat yang menyebabkan kesakitan tubuh.

Teknik manipulasi membetulkan kedudukan tulang juga telah sedia dikenalpasti tamadun terdahulu. Begitu juga teknik penyelaran yang amat terkenal dalam perubatan Arab.

Mereka telah mengenalpasti keperluan memotong anggota kaki yang gangrene, tetapi kemampuan mereka terhad. Kerana kebiasaanya pesakit yang dipotong kakinya akan mati kerana kehilangan darah berlebihan. Bagaimanapun, pengalaman serta zaman mematangkan pengetahuan. Penggunaan teknik mengikat saluran darah (ligature) yang diperkenalkan oleh Ambroise Pare (lahir 1510) berserta penggunaan tourniquet oleh Jean-Louis Petit telah memungkinkan amputasi dilakukan dengan selamat.

"He who wishes to be a surgeon should go to war"
-Hippocrates-

Ramai tokoh-tokoh pakar bedah lahir dari medan perang. Antaranya Ambroise Pare, John Woodall dan Richard Wiseman (digelar bapa pembedahan Inggeris).

Dahulunya bidang pembedahan dianggap picisan dan bukan sebahagian dari tanggungjawab doktor. Praktis pembedahan diserahkan kepada golongan yang berpelajaran rendah, orang yang sama sebagai tukang gunting, pencabut gigi, dia jugalah sebagai tukang bedah.

Tetapi perlu difahami limitasi pembedahan zaman terdahulu. Operasi yang dilakukan hanyalah kecil-kecilan dan tidak melibatkan bahagian tubuh yang utama. Antara sebabnya adalah belum ditemui bius yang berkesan.

Antara khidmat yang paling banyak ditawarkan oleh golongan ini adalah pembuangan darah (bloodletting) dan berbekam.

Mereka juga tidak dilatih melalui laluan akademik sebagaimana para doktor lalui, tetapi dilatih melalui bimbingan mentor.

Bidang perbidanan juga telah melalui perubahan ketara. Daripada hanya eksklusif dikendalikan oleh kaum wanita, kemudiannya mula dimasuki pekerjaan ini oleh para doktor lelaki.

Bermula kurun ke-18, setelah mana ilmu anatomi mendapat tempat, bidang pembedahan juga tidak lagi dianggap remeh dan tidak penting untuk dipelajari para doktor.

Sekolah perubatan di Universiti Edinburgh merupakan antara institusi pengajian yang paling menyerlah dalam bidang ini.

Walaubagaimanapun, peningkatan populariti bidang ini menemui masalah baru, iaitu kekurangan bekalan badan yang boleh dibedah. Situasi ini lebih diburukkan apabila ada yang ingin meraih keuntungan dengan menjadi pencuri mayat untuk dijual. Lebih dahsyat sebagaimana dalam kes William Burke dan William Hare, mereka membunuh mangsa untuk dijual tubuhnya.

Ada dua faktor yang memangkin penemuan-penemuan baharu dalam bidang pembedahan: penggunaan ubat bius bermula 1842 dan penemuan antiseptik oleh Joseph Lister pada tahun 1865.

Evolusi dalam penggunaan ubat bius sentiasa memberikan manfaat kepada perubatan. Bermula penggunaan ether yang dipelopori okeh William E. Clarke kemudiannya bertukar kepada chloroform yang lebih selamat pada tahun 1847 oleh James Young Simpson.

Isu agama sentiasa ada bersama di dalam pembentukan sejarah perubatan. Pada awalnya, ubat bius dilarang penggunaannya semasa proses bersalin, kerana dianggap Bible melarangnya. Tetapi setelahmana Ratu Victoria sendiri menggunakannya pada tahun 1853, ia sedikit sebanyak merubah persepsi awal masyarakat kristian.

Sebelum dipelopori penggunaan antiseptik, kematian akibat pembedahan dan perbidanan adalah tinggi. Sebagaimana yang didapati oleh Ignaz Semmelweis yang berkhidmat di Hospital Vienna. Kadar kematian ibu bersalin yang diuruskan doktor lebih tinggi berbanding yang diuruskan oleh bidan. Setelah dicermati, dikesan ianya berpunca dari pencemaran bilik bedah akibat penglibatan para doktor dalam kes-kes kesakitan yang lain jenis, berbanding bidan yang hanya menumpukan pada kes bersalin semata. Setelah ditetapkan peraturan agar membasuh tangan dan peralatan bedah terlebih dahulu sebelum operasi dengan solusi limau yang diklorinkan, barulah berlaku penurunan kadar kematian di klinik yang dikendalikan para doktor.

Kegemilangan bidang ini lebih terserlah tatkala menjelang kurun ke-20. Satu persatu ciptaan teknologi baharu yang menjadi alat bantu dalam menjadikan operasi pembedahan lebih selamat dan berkesan. Bermula dengan x-ray ditemukan pada tahun 1895, ECG pertama pada sekitar awal 1900, seterusnya ciptaan CT scan dan MRI pada 1972.

...

Bab 7: The Hospital

Jika hari ini perubatan dan hospital sangat sinonim bersama. Tetapi sejarah perubatan telah lama bermula secara bersendiri tanpa mula wujudnya hospital.

Institusi hospital di Barat mula dibina dan diuruskan secara sendirian oleh kumpulan-kumpulan agama sebagai medium untuk berbakti. Saiz dan kapasitinya kecil. Seringkali menjadi tempat perteduhan golongan fakir miskin kerana lazimnya si kaya hanya mendapatkan rawatan di rumah sendiri. Hospital juga bukanlah bermula sebagai pusat tumpuan untuk penyembuhan, lebih kepada perlindungan kepada mereka yang kesakitan dan disisihkan.

Di belahan dunia Islam terdapat beberapa pembinaan hospital (bimaristan) yang jauh lebih terkehadapan fungsi dan peranan berbanding dunia Barat ketika zaman gelap mereka.

Ada jenis hospital yang dibina secara khusus untuk sejenis penyakit, sebagaimana leprosaria untuk menempatkan pesakit kusta (leprosy). Menjelang tahun 1225, terdapat lebih 19,000 leprosaria di Eropah. Tatkala telah berkalu penurunan pada kadar insiden penyakit kusta, binaan yang sama telah digunakan untuk menempatkan pesakit penyakit berjangkit untuk mengelakkan penularan berlaku.

Turun naik yang berlaku terhadap politik dan gereja memainkan peranan yang penting terhadap fungsi hospital. Pemansuhan institusi-institusi keagamaan selepas reformasi edwardian dan henrician, turut terkesan sama hospital yang dibina telah ditutup. Tetapi di negara-negara katholik dan protestan tidak berlaku kejadian sebegini.

Pada kurun ke-17 telah dibina banyak hospital di serata Eropah. Tetapi masih tidak didanai dan dikendalikan secara berpusat oleh kerajaan sebagaimana yang didapati hari ini.

Walaubagaimanapun fungsinya hanyalah sekitar pengendalian sakit-sakit ringan. Peranan hospital dalam menguruskan penyakit berjangkit masih terhad, tidak mampu berbuat apa-apa, bahkan menjadi dengan mudah menjadi lubuk penularan penyakit kerana ketika itu masih belum dikenali dengan jelas kewujudan kuman dan antiseptik.

Kerana itu perdebatan wujud di kalangan pemerhati apakah bentuk model hospital yang lebih baik untuk menangani kelemahan sedia ada. Sebagaimana tokoh jururawat; Florence Nightingale menyarankan agar hospital di bina di perkampungan untuk udara yang lebih baik.

Selepas 1800, hospital mula memainkan peranan sebagai medium terbaik untuk para doktor menjalankan kajian di sana. Penglibatan aktif komuniti doktor yang semakin terdedah dengan penemuan terbaharu mengenai ilmu perubatan telah mengubah gaya kerja di hospital.

Menjelang 1880, hospital mula dilengkapi bilik pembedahan yang lengkap peralatan serta nyahkuman. Seterusnya satu persatu produk teknologi perubatan ditempatkan di hospital seperti mesin ECG (saiznya besar pada ciptaan awalnya), peti besi (iron lung) untuk pesakit polio pada tahun 1930 dan mesin dialisis (1940).

Peningkatan keupayaan yang ada pada hospital telah meningkatkan prestij institusi ini di mata masyarakat. Jika dahulu dianggap sebagai binaan yang penuh dengan penyakit dan berbahaya, ianya kini telah menjadi institusi yang menjanjikan harapan dan penyembuhan.

Tetapi setiap peningkatan kelengkapan  hospital ini tidak datang percuma. Kos pengendalian hospital telah meningkat naik dan hampir memakan suku daripada kek perbelanjaan negara (kurun ke 20 menyaksikan hospital-hospital yang sedia dibina dimiliknegarakan dan dipusatkan pengendaliannya).

...

Bab 8: Medicine in Modern Society

Bab terakhir ini mengajak pembaca merenung kembali apakah yang telah berubah pada cara pandang kita terhadap perubatan dan kesihatan.

Dakwaan institusi kesihatan lebih didorong dengan pengejaran keuntungan melebihi keperluan pesakit tidak henti dingomel masyarakat hari ini. Biarpun ramai perawat yang berterusan berkhidmat dengan ikhlas dan mengorbankan kepentingan diri yang berbagai, masih dikatakan sentuhan peribadi antara perawat-pesakit itu telah hilang.

Inovasi di dalam bidang ini juga tidak lagi berlaku di luar makmal berteknologi tinggi. Seakan tidak mampu berfikir sendiri melainkan yang hanya dikeluarkan dari kajian makmal.

Perbincangan mengenai perubatan juga sudah tidak lagi terhad hanya pada skop biologi semata, tetapi kini lebih banyak diperbincangkan dari sudut sosial dan politik. Usaha banyak digiatkan dalam pembentukan polisi kesihatan awam, insurans dan pencegahan penyakit melalui regulasi persekitaran.

Bab ini turut menceritakan bagaimana pertikaian mengenai insurans kesihatan di US. Selain itu, diterangkan juga jurang antara GP dan Konsultan di UK. Tetapi saya tak berhajat untuk muatkan perkongsiannya di sini.

...

Setelah menghabiskan bacaan ke atas buku ini, dibandingkan dengan buku Short History of Medicine karangan Mark Jackson lebih saya gemari. Bahasanya mudah dan terus pada isi, memuatkan peristiwa-peristiwa penting denga lebih teratur serta tidak hanya mengecilkan skop kepada dunia Barat semata. Begitu juga, buku Jackson tidak terlalu mengsaratkan penulisannya dengan memetik sumbagan ramai tokoh-tokoh sehingga seakan terlalu banyak maklumat untuk dihadam pembaca.

Bagi saya, buku Porter ini  tidaklah sesuai untuk pemula, kerana banyak konsep, terma serta peristiwa yang diringkaskan perinciannya. Agak sukar untuk mereka yang baru pertama kali menjenguk sejarah perubatan untuk memahaminya.

No comments:

Post a Comment