Tuesday, June 30, 2015

Harga Petrol & Musim Perayaan


Latar Belakang Isu:

  1. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek baru sahaja mengumumkan harga baru bagi RON 95 (RM 2.15/liter) & RON 97 (RM 2.55/liter), manakala harga diesel masih kekal pada kadar RM 2.05/liter. Kadar yang baru ini berkuatkuasa menjelang 1 Julai 2015 dan telah merangkumi kenaan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST). Pada tahun ini sahaja telah menyaksikan peningkatan harga runcit petrol secara konsisten selama empat bulan berturut-turut.
  2. Kerajaan juga telah memutuskan untuk menghentikan notis pemberitahuan harga bahan bakar kenderaan secara berkala (setiap akhir bulan) sepertimana yang dilakukan selepas pengapungan terkawal harga petrol semenjak Januari yang lalu.
  3.  Kenaikan harga petrol sangat berkait rapat dengan kadar tukaran nilai Ringgit Malaysia (MYR) berbanding Dollar Amerika (USD) yang saban hari menunjukkan berlakunya depresiasi nilai. Disebabkan urusniaga jual beli minyak antarabangsa menggunakan matawang USD, maka nilai MYR yang semakin mengecil berbanding  USD ini telah menyebabkan kos import minyak meningkat.
  4. Nilai MYR mula berada pada kedudukan yang meresahkan adalah semenjak penghujung bulan Disember 2014 apabila nilainya mula merundum jatuh. Ketika itu, kerajaan mendakwa bahawa hal ini terjadi rentetan daripada kejatuhan harga minyak global secara drastik kerana pendapatan Malaysia bergantung pada hasil eksport minyak. Walaubagaimanapun, dakwaan ini telah dipersoalkan semula oleh beberapa ahli akademik akan kebenarannya. Kerana nilaian eksport hasil minyak kita adalah lebih kecil berbanding nilai import kita, seharusnya ekonomi Malaysia beroleh manfaat, bukan bukan sebaliknya.
  5. Kini, harga minyak dunia mula menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur lanjutan daripada peningkatan dalam permintaan (demand) dunia. Tetapi, sekali lagi, rakyat Malaysia tetap tidak mendapat sebarang manfaat daripada kenaikan harga minyak dunia ini biarpun berada di dalam sebuah negara yang merupakan pengeluar dan pengeksport minyak. Bahkan, seiring dengan peningkatan harga pasaran dunia, begitu juga kadar harga petrol di Malaysia terus menunjukkan peningkatan.
  6. Isu bebanan hutang yang mencecah berpuluh billion ringgit oleh 1MDB dan siri kegagalan pembayarannya semula telah mengheret Malaysia ke arah iklim ekonomi yang semakin suram. MYR terus pada kedudukan yang lemah dan nilainya semakin mengecut. Di sini, kita dapat lihat bahawa akibat keruntuhan integriti pimpinan negara di dalam soal urusan wang yang di amanahkan oleh rakyat ini telah menyebabkan rakyat marhaen terus terhimpit dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi kesan daripada peningkatan harga petrol yang menyusul sebagai kesan tidak langsung.

Analisa & Kesimpulan:

  1. Penurunan nilai MYR berbanding USD adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan harga petrol di Malaysia. Kes 1MDB dan beberapa lagi isu pengurusan dana negara secara tidak berkesan dan tidak cermat telah menghambat nilai matawang MYR daripada kembali meningkat. Mangsanya adalah rakyat berpendapatan rendah yang merupakan majoriti di dalam kalangan rakyat Malaysia.
  2. Kenaan GST ke atas pembelian petrol dan diesel umpama menoreh lebih dalam luka yang sudah sedia ada dirasai oleh masyarakat terbanyak. Sudahlah harga pasaran dunia naik dan kelemahan nilai MYR berbanding USD itu sendiri telah menaikkan kadar harga, ditambah pula caj yang diperas oleh kerajaan kepada rakyat yang tiada pilihan lain.
  3. Pendapatan yang diperolehi oleh kerajaan melalui pungutan GST ke atas bahan bakar kenderaan akan turut meningkat seiring peningkatan kadar baru harga petrol. Di dalam isu ini, dilihat bahawa hanya kerajaan sahaja yang mendapat keuntungan kerana bukan sahaja kerajaan berupaya mengurangkan bebanan subsidi petrol melalui proses rasionalisasi subsidi, bahkan turut mendapat pendapatan tambahan pada setiap siri kenaikan harga petrol.
  4. Walaupun harga petrol pada kadar yang tinggi, dijangka penggunaannya kekal tinggi disebabkan trend penggunaan kenderaan secara meluas pada musim perayaan.
  5. Kenaikan harga minyak di ambang musim perayaan berupaya mendedahkan negara kepada risiko berlakunya peningkatan harga barang dan perkhidmatan oleh para perniaga. Sama ada dilakukan oleh mereka yang terjejas secara langsung mahupun yang ingin mengambil kesempatan ke atas ketidakstabilan pasaran.
  6. Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011 bagi mengawal kenaikan harga secara mendadak kesan rantaian kepada kenaikan kadar harga petrol akan memerlukan jumlah penguatkuasa yang ramai dan secara tidak langsung akan melibatkan kos operasi dan pentadbiran yang lebih tinggi. Adalah lebih wajar sekiranya kerajaan mengambil pendekatan mencegah; dengan cara menyerap peningkatan harga petrol terlebih awal berbanding bertungkus lumus mengawal harga di kemudian hari.
Cadangan Solusi:

1. Penyerapan kos kenaikan harga petrol melalui: 
a) Pengecualian GST ke atas bahan bakar kenderaan sempena musim perayaan. 
b) Pemberian bantuan tunai / kad diskaun petrol kepada setiap keluarga yang pendapatan isi rumahnya dikategorikan sebagai menengah dan rendah.

2. Advokasi perlaksanaan konsep dan prinsip pencukaian Islam melalui: a) Meneruskan desakan agar GST digantikan dengan sistem pencukaian yang lebih bertepatan dengan kehendak syara’ seperti Capital Gain Tax. b) Mendesak agar kerajaan melebarkan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar sifar. c) Menyediakan sistem pengecualian cukai GST kepada rakyat yang tergolong di dalam kategori fakir dan miskin.

 3. Menegaskan bahawa campur tangan dan penguasaan pemerintah yang meluas di dalam pelbagai institusi ekonomi di Malaysia adalah memudaratkan. Kita lihat telah berlakunya pelbagai isu salah guna kuasa dan telah malap semangat persaingan yang sihat di dalam perkembangan ekonomi negara kita apabila orang politik yang berkepentingan berada di posisi tertinggi; mengawal institusi-institusi yang mempunyai pengaruh yang besar pada ekonomi Malaysia sepertimana yang boleh kita lihat pada 1MDB,Tabung Haji dan terkini MARA. Situasi seperti ini telah dijelaskan lebih awal dahulu oleh Ibn Khaldun melalui penulisannya di dalam Mukaddimah. Pengurusan ekonomi perlu diberikan lebih banyak ruang dan akses kepada semua rakyat untuk melibatkan diri dan meraih manfaat bersama, di samping dipimpin mahupun dikendalikan oleh mereka yang pakar di dalam lapangan pentadbiran dan pengurusan ekonomi, bukan sepertimana yang berlaku hari ini apabila merit politik lebih diutamakan.