Sunday, October 5, 2014

Menyoroti Sejarah Perlaksanaan Syariat Islam Di Malaysia Menurut Perspektif Undang-Undang.


Pendahuluan

Islam telah bertapak di Tanah Melayu semenjak kurun ke-12 lagi. Terdapat juga sebahagian pandangan yang menyatakan bahawa agama Islam telah diterima oleh penduduk Tanah Melayu lebih awal daripada pandangan yang pertama iaitu seawal kurun ke-8. Kedatangan agama Islam telah mengubah kehidupan bermasyarakat penduduk di Tanah Melayu ketika itu, termasuklah pada aspek perundangan. Kegemilangan Islam di Tanah Melayu suatu ketika dahulu dapat dilihat semasa zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah di Melaka (1459-1477M).

Catatan sejarah telah membuktikan bahawa undang-undang Islam telah dijadikan sumber utama perundangan pada ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511). Mengikut Dr. Van Ronkel, antara teks yang terpenting dalam pengkanunan  hukum Islam ialah Hukum Kanun Melaka. Selain daripada itu, terdapat juga Kitab Undang-undang Sultan Melaka dan Undang-undang Melaka yang mengandungi hukuman terhadap kesalahan seperti hudud dan qisas. Turut sama di dalamnya mengandungi prosedur dan adad al-Qadhi.

Penulisan ini akan menerangkan berkenaan sejarah dan pengenalan ringkas:
1. Kedudukan Mahkamah Syariah
2. Pengurusan Zakat dan Waqaf
3. Perlaksanaan Hukum Faraidh
4. Pertikaian di dalam Isu Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

KEDUDUKAN MAHKAMAH SYARIAH DI DALAM SEJARAH

Semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511), Sultan bertindak selaku kuasa legislatif, eksekutif dan judisiari. Mahkamah Balai terletak di bawah Sultan dan menggunakan hukum Islam melalui undang-undang yang telah dinyatakan di atas. Sepanjang dan selepas daripada penjajahan daripada Portugis dan Belanda (1511-1800), struktur dan kedudukan mahkamah dan kuasa  Sultan tidak mengalami sebarang perubahan.

Campur tangan British dalam pentadbiran di Tanah Melayu pada kurun ke-19 menjadi antara faktor awal kedudukan perundangan dan kehakiman Islam pada ketika itu mula tergugat. Rentetan daripada Perjanjian Pangkor (1874) yang menetapkan lantikan Residen British sebagai penasihat Sultan sehinggalah membawa kepada pemakaian undang-undang lazim British di Tanah Melayu melalui Enakmen Undang-undang Sivil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1937) dan diluaskan penggunaannya ke negeri-negeri lain pada tahun 1951 yang seterusnya telah digantikan dengan Ordinan Undang-undang Sivil 1956. Penggunaan undang-undang sivil di Tanah Melayu bagi perbicaraan kesalahan berkaitan jenayah dan kesalahan am telah secara tidak langsung menyempitkan aplikasi hukum dan undang-undang Islam menjadi seolah-olah hanya terhad di dalam lingkungan kesalahan individu dan keluarga sahaja. Kesannya, pengamalan ini telah mempengaruhi pembentukan peruntukan perlembagaan berkenaan  pembahagian bidangkuasa perihal jenayah sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini.

Ordinan Mahkamah 1948 telah ditubuhkan selepas daripada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (1 Februari 1948), lanjutan daripada ordinan ini, Mahkamah Qadhi (Syariah) dan Mahkamah Penghulu menjadi sebahagian daripada Mahkamah Persekutuan. Kedudukan Mahkamah Syariah berada di kedudukan terbawah sekali selepas Mahkamah Majistret Kelas Kedua.

Selepas daripada Akta Mahkamah Rendah 1948 menggantikan Ordinan Mahkamah 1948 yang dimansuhkan, Mahkamah Syariah telah dikeluarkan daripada Mahkamah Persekutuan dan diletakkan di bawah penguatkuasaan negeri. Mahkamah Syariah ketika itu kedudukannya sebaris dengan Jabatan Agama Islam Negeri  dan Mufti, kondisi ini telah menimbulkan konflik dan pertikaian terhadap kewibawaan Mahkamah Syariah yang seharusnya menjadi institusi yang bebas dan merdeka.

Tahun 1980-an merupakan suatu tempoh yang penting di dalam sejarah perundangan Islam di Malaysia. Bermula dengan usaha pemisahan Mahkamah Syariah daripada Majlis Agama Negeri seterusnya Mahkamah Syariah telah diklasifikasikan kepada tiga; Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Pada tahun 1984, pindaan telah dibuat terhadap Akta Mahkamah Syariah 1965 bagi meningkatkan bidangkuasa  yang diperuntukkan sepertimana yang kita sedia maklum pada hari ini sebagai Akta 365 (3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan RM 5000 denda). Seterusnya pada tahun 1988, satu pindaan telah dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan lanjutan daripada cadangan yang dipelopori oleh Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim bagi menangani isu campur tangan yang ketara daripada Mahkamah Sivil terhadap kes yang dikendalikan oleh Mahkamah Syariah. Perenggan 1A yang ditambah pada Perkara 121 tersebut menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa terhadap kes yang tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Hasilnya, secara tidak langsung kedudukan Mahkamah Syariah berjaya dinaikkan dan dilihat sebaris dengan Mahkamah Syariah.

Pada tahun 1998, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah ditubuhkan dibawah Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menjadi suatu pusat agensi yang menyeragamkan perundangan Islam di Malaysia. Selain daripada itu, JKSM juga berperanan untuk meningkatkan prestasi Mahkamah Syariah di setiap negeri. Di bawah JKSM, telah diusahakan ‘Skim Guna Sama” bagi penyelarasan undang-undang islam yang terpakai di negeri-negeri yang terlibat (Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Selangor). Walaubagaimanapun, negeri tidak tertakluk dengan cadangan yang diutarakan daripada JKSM berikutan urusan agama merupakan bidangkuasa negeri. Meskipun begitu, melalui keselarasan yang diusahakan oleh JKSM telah sedikit sebanyak membantu dalam menangani permasalahan yang disebabkan oleh perbezaan undang-undang yang digunapakai di setiap Negeri.

Sejarah Pengurusan Zakat Dan Wakaf

Setelah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, dipercayai bahawa kutipan zakat ada dilaksanakan. Akan tetapi kurang dan sangat sukar untuk menemui catatan mahupun rekod berkenaan aktiviti pengutipan dan pengagihan zakat pada ketika itu.

Menurut Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim, undang-undang dan peraturan zakat telah diperkenalkan semenjak daripada zaman penjajah lagi. Kelantan merupakan negeri pertama yang mengadakan peraturan zakat melalui Notis Zakat Kelantan yang bertarikh 1907. Seterusnya tindakan ini turut diikuti oleh negeri-negeri yang lain sebagaimana di Perlis pada tahun 1930 dan Kedah pada tahun 1936.

Di Malaysia, institusi yang menguruskan urusan zakat ditubuhkan melalui antara salah satu daripada empat cara:

1. Penubuhan melalui Enakmen Zakat. (seperti Jabatan Zakat Negeri Kedah)
2. Penubuhan melalui Akta atau Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri. (seperti Lembaga Zakat Selangor)
3. Penubuhan melalui Akta atau Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri dengan tujuan bagi urusan kutipan sahaja. (seperti PPZ-MAIWP)
4. Penubuhan dibawah Majlis Agama Islam Negeri melalui jabatan atau unit baitulmal atau pusat zakatnya yang tersendiri. (seperti Majlis Agama Islam Johor)

Pengurusan zakat di Malaysia berbeza-beza mengikut negeri masing-masing. Terdapat institusi zakat yang menguruskan kutipan dan pengagihan sepertimana Selangor, Sabah dan Pulau Pinang. Ada pula yang hanya menguruskan kutipan, manakala pengagihannya diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan. Ada pula kutipan dan pengagihan zakat negeri tersebut sepenuhnya diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri itu sendiri seperti Sarawak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

Sebelum tahun 1990-an, kutipan zakat negeri-negeri di Malaysia ketika itu sangat rendah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah seperti penumpuan kutipan zakat hanya pada zakat fitrah dan zakat daripada penghasilan padi sahaja sehingga mengabaikan kutipan daripada sektor swasta, perniagaan dan zakat terhadap pendapatan. Kutipan pada ketika itu juga bersifat bermusim, iaitu hanya pada bulan Ramadhan dan pada musim menuai. Pengurusan pentadbiran institusi zakat ketika itu juga tidak bersistematik dan bebanan tugas dipundakkan ke atas ‘amil kerana turut berperanan terhadap estet, wakaf dan segala yang berkaitan dengan baitulmal.

Selepas daripada 1990-an, pengurusan zakat di Malaysia semakin baik dan menunjukkan peningkatan yang ketara. Ianya bermula daripada pengamalan urusan secara korporat oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Januari 1991. Transformasi pengkorporatan ini bertujuan bagi menyediakan pegawai, pejabat dan kaunter yang berasingan daripada Majlis Agama Negeri, seterusnya menyediakan sistem bekerja korporat yang tidak terlalu terikat dengan pelbagai birokrasi. Kesannya, galakan terhadap inovasi, kreativiti dan produktiviti itu meningkat. Perubahan yang dipelopori oleh PPZ-MAIWP ini seterusnya disusuli oleh Lembaga Zakat Selangor (1994), Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (1994), Pusat Kutipan Zakat Pahang (1995), Pusat Zakat Negeri Sembilan (1998) dan Pusat Zakat Melaka (2001).

Walaupun pengurusan zakat telah semakin baik, tetapi keberkesanan institusi zakat itu dinilai pada keberhasilannya dalam mengupayakan golongan fakir dan miskin sehingga berjaya membebaskan diri daripada belengu kemiskinan.

Manakala, berkaitan dengan pengurusan harta wakaf di Malaysia, ianya ditadbir dan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai Pemegang Amanah Tunggal sepertimana yang dinyatakan di dalam enakmen negeri masing-masing. Walaupun begitu, tidak bermakna semua tanah wakaf adalah menjadi milik mutlak MAIN. Dalam proses membuat keputusan, MAIN berhak untuk membuat perjanjian, membeli, mengambil, memegang dan memiliki harta sama ada harta alih atau tak alih untuk menukar, memindah dan membangun segala harta yang terserah milik kepada MAIN mengikut mana-mana peraturan yang tersedia ada menurut hukum syarak. 

Peruntukan wakaf di dalam enakmen-enakmen negeri yang kebanyakannya hanya bersifat aspek pentadbiran dan prosedur ringkas tentang pewakafan; tidak ditekankan berkenaan aspek substantif kecuali pada beberapa buah negeri sahaja yang mempunyai enakmen khusus tentang wakaf seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagi meningkatkan lagi kualiti pengurusan harta wakaf di negara ini, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JWZH) atau turut dikenali sebagai JAWHAR yang ditubuhkan pada tahun 2004 semasa zaman pentadbiran Dato’ Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi.



Perlaksanaan Hukum Faraid

Sebelum Perang Dunia Kedua, pentadbiran harta pusaka orang Islam di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perlis) diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam atau Mahkamah Syariah negeri masing-masing. Tetapi selepas itu pentadbiran pusaka adalah dikendalikan di peringkat Persekutuan. Ini adalah kerana urusan pembahagian pusaka atau perwarisan berwasiat dan tidak berwasiat serta urusan mengeluarkan surat kuasa tadbir diletakkan di bawah Senarai 1, Jadual ke-9, Senarai Persekutuan.

Walaupun urusan harta pusaka orang Islam diuruskan oleh undang-undang sivil, ianya masih menggunakan hukum syarak, iaitu Hukum Faraid. Menurut Seksyen 12 (7) Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, pembahagian harta pusaka si mati hendaklah menggunakan undang-undang yang terpakai padanya. Bermakna, bagi pengurusan harta orang mati hendaklah menggunakan hukum Islam.

Seksyen 12 (7):
“Pemungut hendaklah menentukan, dalam apa cara yang paling sesuai, undang-undang yang terpakai kepada penurunan harta pusaka si mati, dan hendaklah memutuskan siapa mengikut undang-undang itu adala benefisiari-benefisiari dan kadar syer dan kepentingan masing-masing.”

Di dalam Seksyen 19 (1) (a) pula menetapkan bahawa sebarang perkaitan dengan undang-undang Islam maka hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa negeri. Justeru itu, persoalan yang timbul berkenaan pembahagian harta pusaka seperti sah taraf anak dan penentuan nasab hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Terdapat empat institusi yang menguruskan pembahagian harta pusaka:

1. Amanah Raya Berhad (pusaka ringkas)
Mengendalikan harta alih sahaja dan nilai tidak melebihi RM 2,000,000.

2. Seksyen Pembahagian Pusaka / Pejabat Tanah (pusaka kecil)
Di peringkat negeri dikenali sebagai Unit Pembahagian Pusaka. Mengendalikan harta tak alih sahaja (tanah) atau harta tak alih & harta alih, nilainya tidak melebihi RM 2,000,000 dan tidak berwasiat mengikut Akta Wasiat 1959. Undang-undang yang digunakan adalah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

3. Mahkamah Tinggi (pusaka besar)
Mengendalikan harta tak alih (tanah) atau harta alih yang nilainya melebihi RM 2,000,000, berwasiat (bagi bukan Islam walaupun nilainya bawah RM 2,000,000). Turut mengendalikan kes-kes rayuan di bawah Seksyen 29, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Undang-undang yang digunakan adalah Akta Probet Dan Pentadbiran 1959.

4. Mahkamah Syariah
Menentukan waris dan bahagian setiap waris dengan mengeluarkan “Sijil Faraid”. Turut mempunyai bidangkuasa dalam hal berkaitan wasiat, hibah, wakaf, sah taraf anak, perkahwinan, harta sepencarian dan nasab; semua ini mempunyai  kaitan rapat dan dapat mempengaruhi keputusan pembahagian harta pusaka.

Kebiasaannya, permasalahan yang akan timbul di dalam isu pembahagian harta pusaka ini adalah seperti berikut:

1. Kekeliruan terhadap bidangkuasa.

Kecelaruan timbul kerana terdapat empat institusi yang terlibat dalam urusan pembahagian harta pusaka. Sebagai contoh, jika dilakukan penilaian harta dan mendapati bahawa peninggalan si mati tersebut melebihi RM 2,000,000 setelah dirujuk di Unit Pembahagian Pusaka, permohonan itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil. Waris akan diminta sekali lagi untuk membuat permohonan baru mengikut kaedah mahkamah.

2. Kekangan statut.

Sehingga ke hari ini masih belum ada satu status khusus yang boleh dijadikan panduan bagi membahagikan harta pusaka orang Islam. Pegawai Pembahagian Pusaka hanya merujuk kepada kitab faraidh disamping menghadiri kursus dan pembelajaran secara tidak formal. Situasi ini berbeza di Mesir yang mempunyai statutnya yang khusus berkenaan pembahagian pusaka yang dikenali sebagai  Qanun al-Mawarith 1943. Justeru itu bagi urusan penentuan pembahagian melalui “Sijil Faraid”, hakim di Mahkamah Syariah akan terdedah kepada perbezaan pendapat di kalangan mazhab di dalam isu perwarisan mengikut kaedah ‘Rad’, perwarisan oleh waris ‘Dzhawi al-Arham’, dan kaedah pembahagian ‘Muqasamah’.

3. Tiada keselarasan undang-undang.

Terdapat beberapa perbezaan di antara negeri. Sebagai contoh, hanya tiga buah negeri sahaja yang mempunyai enakmen wasiat iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. Masalah timbul apabila terdapat peruntukan yang berada di dalam enakmen tersebut tidak terdapat di dalam hukum wasiat menurut Mazhab Syafie. Maka, Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh negeri tersebut tidak boleh digunakan di negeri yang tidak mempunyai enakmen tersebut.

Isu ketidakselarasan juga timbul berkenaan tempoh anggapan kematian (mafqud). Unit Pembahagian Pusaka hanya menerima anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (disemak 1971). Akta ini memperuntukkan bahawa tempoh hilang yang boleh dikira sebagai anggapan kematian adalah selama tujuh tahun. Manakala di dalam Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan pula memperuntukkan selama empat tahun. Perbezaan ini telah menimbulkan kerumitan terhadap isteri waris, kerana anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Syariah hanya boleh digunakan untuk memperolehi kebenaran berkahwin lain tetapi tidak pada pembahagian harta.

Pertikaian Di Dalam Isu Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Seringkali konflik pertembungan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil pada hari ini adalah berkenaan isu hak penjagaan anak antara ibu bapa yang bercerai disebabkan salah seorang memasuki Islam. Meskipun Perkara 121 (1)(a) telah menjelaskan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak boleh masuk campur bidangkuasa Mahkamah Syariah, tetapi ianya masih menjadi pertikaian dan masih menimbulkan kekeliruan.

Telah berlaku banyak kes, antaranya adalah seperti:

1. Kes Indira VS Muhd Redhuan (K Patmanathan) pada tahun 2009.
2. Kes Subashini VS Muhammad Shafi (Saravanan) pada tahun 2007
3. Nur Adryana Qestina (Audrey Christina) VS S. Gopal pada tahun 2007.

 Isu yang terbaru adalah yang terjadi pada awal tahun yang lalu, iaitu perebutan antara Izwan Abdullah (N. Viran) dan S.Deepa.

 Konflik perebutan hak penjagaan anak ini kebiasaannya timbul berikutan beberapa faktor seperti:

1. Akta Pembaharuan (Kahwin dan Cerai) 1976
2. Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961
3. Perkara 121 (1)(a)
4. Penentuan Agama Anak

Perkahwinan bukan Islam didaftarkan di bawah Akta Pembaharuan (Kahwin dan Cerai) 1976 atau turut sama dikenali sebagai Law and Reform (Marriage and Divorce) Act 1976 (LRA). Melalui akta ini, pasangan bukan Islam boleh berkahwin dan hanya boleh bercerai jika salah satu pihak menuntutnya atau perkahwinan tersebut dibubarkan oleh arahan mahkamah.

Manakala, pasangan bukan Islam pula ditadbir urusan perkahwinannya menurut Enakmen Keluarga Islam di negeri masing-masing.

Menurut undang-undang, pemelukan agama Islam oleh salah seorang pasangan bukan Islam secara sendirinya tidak menyebabkan perkahwinan tersebut terbubar kecuali ianya disahkan oleh Mahkamah Sivil. Permasalahan timbul apabila di dalam Akta 1976 memperuntukkan pada Seksyen 51 bahawa:

“Apabila salah seorang kepada perkahwinan itu memeluk agama Islam, pihak yang satu lagi yang tidak memeluk agama Islam boleh memohon petisyen perceraian. Dengan syarat bahawa tiada petisyen boleh dibuat di bawah Seksyen ini sebelum tempoh tiga bulan tamat dari tarikh pemelukan tersebut.”

Peruntukan di atas tidak terpakai kepada pihak yang beragama Islam. Bermakna, Seksyen 51 hanya memberi hak kepada pihak yang bukan beragama Islam sahaja untuk memfail petisyen perceraian di Mahkamah. Sekiranya tiada petisyen dibuat, maka status perkahwinan bagi pasangan yang muslim itu akan tergantung kerana menurut undang-undang perkahwinannya belum terbatal. Kebiasaannya situasi ini berlaku pada pasangan yang tidak memeluk Islam itu sengaja membalas dendam mahupun bimbang hak penjagaan anak akan berpindah kepada pasangan yang muslim tersebut apabila perceraian disahkan.

Sekiranya kes dibicarakan di Mahkamah Sivil, undang-undang yang akan digunakan adalah Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang bertentangan dengan Enakmen Keluarga Islam Negeri dan hukum syara’ dalam menetapkan hak penjagaan anak seperti memberikan keutamaan penjagaan anak bawah umur kepada bapa berbanding ibu dan tidak mengambil kira faktor agama sebagai penentu hak penjagaan.

Pertikaian di manakah sewajarnya kes ini dibicarakan juga sering menjadi perbahasan utama; sama ada kes sebegini perlu di dengarkan di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil. Bagi mereka yang berpandangan bahawa perlu dibicarakan di Mahkamah Sivil adalah kerana perkahwinan pasangan ini asalnya didaftarkan di bawah undang-undang sivil (Akta 1976), maka sewajarnya dikendalikan oleh Mahkamah Sivil. Manakala, bagi mereka yang berpandangan sebaliknya pula melihat bahawa ianya melibatkan urusan Islam, maka ianya tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah dan tidak boleh diganggu oleh Mahkamah Sivil berdasarkan Perkara 121 (1)(a).

Berkenaan penentuan agama anak, menurut pandangan Mazhab Syafie, Hambali dan Hanafi; agama kanak-kanak yang asalnya bukan beragama Islam akan dikira beragama Islam tidak kira sama ada hanya salah seorang sahaja daripada ibu bapanya yang memeluk Islam. Di Malaysia, wujud pertikaian sama ada kanak-kanak di bawah 18 tahun bukan beragama Islam boleh memeluk agama Islam atau tidak tanpa persetujuan kedua ibu bapanya.

Perkara 12 (4) di dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa:

“Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.”

Jika dirujuk semula perlembagaan versi bahasa inggeris, perkataan ibu bapa yang digunakan di situ adalah “parent” yang membawa maksud ibu atau bapa, bukan “parents” yang membawa maksud ibu dan bapa. Di sini menjadi titik perbezaan di dalam menafsirkan perlembagaan, bagi mereka yang mendokong pandangan yang menyatakan bahawa hanya memerlukan salah seorang daripada ibu atau bapa, mereka akan bersetuju pada penetapan agama kanak-kanak oleh salah seorang ibu bapanya sahaja. Manakala, bagi mereka yang tidak bersetuju, mereka menggunakan hujah bahawa di dalam Perkara 160 dalam tafsiran “his” (dia: lelaki) meliputi jua “her” (dia: perempuan), maka mereka berpandangan bahawa begitu juga “parent” hendaklah juga difahami secara jamak iaitu “parents”.

Penutup

Diharapkan melalui penulisan ini akan memudahkan pembaca untuk memahami kondisi semasa bagi perlaksanaan syariat Islam di Malaysia pada hari ini. Melalui penelitian terhadap sejarah dan perkembangan terkini, maka kita selaku generasi baharu yang bakal mencorakkan hala tuju negara akan dapat memahami dengan lebih baik apakah yang perlu dilaksanakan bagi membentuk Malaysia dengan acuan Islam secara sepenuhnya.




[RUJUKAN]
1. Perlembagaan Persekutuan
2. The Islamic Legal System in Malaysia; Farid S.Shuaib
3. A Comparative Study of Waqf Management in Malaysia; Zuraidah Mohamed Isa, Norhidayah Ali & Rabitah Harun.
4. Isu-Isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam Dalam Konteks Perundangan Malaysia; Tuan Haji Wan Abdul Halim bin Wan Harun.
5. Mengembalikan Fungsi Sebenar Islam Dalam Perlembagaan Malaysia; Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek.
6. Penentuan Agama dan Hak Penjagaan Kanak-Kanak Menurut Undang-Undang Islam; Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
7. Zakat Institution in Malaysia: Problem and Issues; Azman Ab Rahman, Mohammad Haji Alias & Syed Mohd Najib Syed Omar.
8. Zakat Management in Malaysia: Challenges & Prospects; Mohamed Izam Mohamed Yusof

9. Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Wakaf di Malaysia; drafendi.blogspot

No comments:

Post a Comment