Saturday, December 28, 2013

Ilmu Asas Pertolongan Cemas (First Aid)


Ilmu Asas Pertolongan Cemas (First Aid)
 
Pertolongan cemas atau lebih dikenali sebagai first aid sangat membantu di dalam situasi genting. Walaupun pengamalannya biasanya berdasarkan logik dan common sense, tetapi seringkali ianya sangat membantu di dalam pelbagai situasi kecemasan. Menggunakan rawatan asas berdasarkan ilmu pertolongan cemas barangkali sudah mencukupi bagi sebahagian kes kecederaan, manakala pada sebahagian situasi yang lain ianya menjadi asbab nyawa mangsa berjaya diselamatkan.

Cuaca politik Mesir semakin mendung dan masih tidak kembali cerah. Demonstrasi terus dijalankan dengan giat daripada kalangan mahasiswa Mesir. Ana berpandangan, seharusnya mahasiswa Malaysia didedahkan dengan ilmu dan kemahiran pertolongan cemas supaya dapat digunakan andai diperlukan suatu masa nanti (na’udzubillah min dzalik).

Ana tidak bercadang untuk menulis semua yang berkaitan dengan pertolongan cemas, ana hanya akan memilih beberapa sahaja berdasarkan keperluan situasi dan ana akan menggunakan bahasa yang mudah difahami kerana artikel ini adalah untuk rujukan pembaca yang tidak mempunyai asas ilmu perubatan.

In sha Allah ana akan sentuh berkenaan:

1) Cardiopulmonary resuscitation (CPR)
2) Recovery Position
3) Patah tulang (Fracture)
4) Pendarahan (Bleeding)
-Minor
-Major (Tikaman dan tembakan)
5) Pengsan
6) Melecur (Burn)

Langkah Pertama

 Apabila berhadapan dengan situasi yang terdapat mangsa mengalami kecederaan. Perlu dipastikan dahulu kawasan di sekeliling anda dan mangsa tersebut selamat dan tiada ancaman lain sebelum anda mendekati mangsa tersebut.

Kenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh mangsa, jika kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah berat dan serius, sila hubungi dengan segera nombor kecemasan (123: Ambulan Mesir, 122: Polis Mesir, 180: Bomba Mesir dan nombor pihak berkaitan (Kedutaan/ pegawai negeri/ Lajnah Kebajikan PMRAM atau PERUBATAN/ YDP BKAN/ Ketua Hisbah atau JAKSI) bagi memohon bantuan rawatan lanjut. Sekiranya mangsa dilihat tidak bermaya atau tidak sedarkan diri, periksa pernafasan mangsa.

Anda boleh memeriksa pernafasan mangsa melalui cara:
1) Mengesan hembusan angin daripada saluran penafasan dengan mendekatkan pipi anda.
2) Melihat pergerakan dada.

Sekiranya pesakit itu tidak sedarkan diri dan tidak bernafas, lakukan CPR kepadanya.

Cara-cara melakukan CPR

1) Mulakan dengan Bismillah
2) Pastikan tiada sebarang perkara yang menghalang saluran pernafasan mangsa (longgarkan butang baju, buang benda yang terdapat di dalam mulut *sekiranya ada)
3) Letakkan kedua-dua tapak tangan anda di bahagian tengah dada mangsa (antara dua dada). Tekan dada mangsa sedalam 5 cm dengan kadar tetap (dua tekanan dada pada satu saat). Prinsip asas bagi tekanan dada adalah “Push Hard, Push Fast”.
4) Selepas mengenakan 30 kali tekanan pada dada (chest compressions), lakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut sebanyak dua kali. (sekiranya anda tidak selesa untuk melakukannya, anda boleh memilih untuk tidak melakukannya dan terus dengan melakukan chest compressions)
- Dongakkan kepala mangsa dengan menggunakan dua jari anda pada dagu mangsa (elakkan menekan pada leher mangsa)
- Picit hidung mangsa dan pastikan saluran pernafasannya melalui hidung telah ditutup rapi.
- Letakkan mulut anda pada mulut mangsa dan lakukan hembusan. Pastikan dada mangsa bergerak naik apabila hembusan dilakukan.
-Lakukan sebanyak dua kali hembusan.
5) Sekiranya mangsa masih tidak bernafas, teruskan dengan 30 chest compressions dan 2 rescue breaths sehingga mereka sudah boleh bernafas atau bantuan tiba.
6) Jika mangsa sudah boleh bernafas, posisikan mangsa di dalam keadaan recovery position supaya mangsa dapat bernafas dengan mudah dan baik.



Recovery Position?

Sekiranya mangsa yang anda temui sedang menghadapi permasalahan di dalam pernafasan, badannya lemah akibat sukar bernafas atau mampu bernafas tetapi tidak sedarkan diri, maka sila posisikan tubuh badan mangsa ke Recovery Position.

Ana tak pasti apakah istilahnya di dalam Bahasa Malaysia.

Recovery Position penting bagi memastikan saluran pernafasan mangsa sentiasa terbuka dan mangsa dapat melakukan pernafasan dengan lebih mudah.

Terdapat pelbagai bentuk dan kaedah Recovery Position yang digunakan di seluruh dunia, tetapi semua kaedah tersebut menepati dan memenuhi 6 asas penting ini:

1)     Mangsa perlulah berada dalam keadaan mengiring.
2)      Posisi mangsa perlulah stabil.
3)      Perlu hilangkan sebarang gangguan atau tekanan kepada dada.
4)      Kaedah tersebut perlulah mudah untuk memusingkan badan mangsa daripada posisi terlentang kepada posisi mengiring mahupun sebaliknya.
5)      Mudah untuk melakukan pemerhatian pada saluran penafasan mangsa.
6)      Posisi itu sendiri tidak membawa kepada kecederaan tambahan mangsa.

Cara-cara Meletakkan Mangsa Pada Recovery Position:

1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Pastikan anda berada di sebelah kiri mangsa yang sedang terlentang.
3) Posisikan tangan kiri mangsa pada lantai di sisi kepala mangsa dalam keadaan dilipat sikunya pada 90 darjah.
4)  Ambil tangan kanan mangsa dan silangkan tangan kanannya di hadapan wajah mangsa. Temukan belakang telapak tangan kanan mangsa   dengan pipi kirinya.
5) Lipat kaki kanan mangsa dan mengiringkan tubuh mangsa ke arah anda dengan menarik pada kaki mangsa. (mangsa sepatutnya lebih mudah digerakkan dengan cara ini)
6) Stabilkan posisi mangsa yang sudah kini dalam posisi mengiring.
7) Dongakkan kepalanya dan pastikan mangsa dapat bernafas dengan selesa.

Patah Tulang (Bone Fracture).

Sekiranya mangsa yang anda temui mengalami kepatahan tulang, sila hubungi nombor kecemasan dengan segera sekiranya:

1) Pendarahan serius.
2) Kesakitan dirasai walaupun dengan sentuhan yang lembut.
3) Sendi kelihatan tidak normal.
4) Tulang tertusuk keluar.
5) Tulang yang disyaki patah adalah di leher, kepala atau tulang belakang.
6) Tulang yang disyaki patah adalah di pinggang.

Sila pastikan anda tidak menggerakkan tubuh badan mangsa kecuali sekiranya perlu. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kecederan tambahan.

Apa yang anda boleh lakukan:

1) Hentikan pendarahan (sekiranya ada), tekan luka mangsa dengan kain yang bersih sekadar untuk hentikan pendarahan. Jangan terlalu kuat.
2) Tidak menggerakkan kawasan yang cedera. Pastikan kawasan cedera tersebut dalam keadaan yang stabil dan tidak terlalu banyak pergerakan berlaku. Sekiranya anda terlatih atau mengetahui cara-cara untuk membuat dan memakaikan anduh, maka pakaikan kepada mangsa.
3) Gunakan pek ais. Jangan gunakan ais secara langsung pada kulit mangsa. Balutkan dengan kain. Tekap pada kawasan cedera untuk kurangkan bengkak dan kesakitan.
4) Sekiranya mangsa seakan lemah semangat, bernafas pendek dan cepat. Sila baringkan mangsa dan tinggikan sedikit kaki mangsa (sekiranya boleh).

Pendarahan (Bleeding)

Seringkali semasa pertembungan antara pihak keselamatan dan demonstran akan berlaku kecederan berdarah. Samada pendarahan yang minor seperti luka kecil dan calar mahupun pendarahan yang major atau serius seperti luka tikaman dan tembakan.

Sekiranya luka yang dihadapi oleh mangsa adalah kecil dan tidak serius, anda boleh ikuti langkah-langkah ini:

1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Basuh dan bersihkan tangan anda terlebih dahulu.
3) Gunakan sarung tangan atau lapik tangan anda dengan sebarang plastik atau kain.
4) Bersihkan luka mangsa, sekiranya terdapat kekotoran, dengan air mengalir. Keringkan luka mangsa dengan kain yang bersih. Letakkan anggota badan yang luka tersebut lebih tinggi daripada paras jantung (Heart Level) *Sekiranya boleh.
5) Sapukan iodine.
6) Tutup luka mangsa dengan dressing atau plaster. (ikut kesesuaian)

Jika mangsa menghadapi masalah pendarahan yang serius dan kritikal, anda hendaklah hubungi nombor kecemasan dengan segera dan ikuti langkah-langkah ini:

1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Gunakan sarung tangan atau lapik tangan anda dengan sebarang plastik atau kain.
3) Tekan kawasan luka dengan kain untuk hentikan pendarahan berterusan.
4) Baringkan mangsa.
5) Sekiranya pendarahan berlaku pada anggota badan seperti tangan dan kaki, anda boleh tinggikan anggota badan yang berkenaan lebih tinggi daripada paras jantung. Sila pastikan mangsa terlebih dahulu tidak disyaki menghadapi kepatahan tulang.
6) Balut luka mangsa, tetapi jangan terlalu ketat. Sekiranya darah menembusi balutan ini, tambah balutan baru di atas balutan yang pertama. Tetapi jika darah tetap menembusi, buka semula ikatan dan ulang semula proses balutan menggunakan kain baru.

Terdapat situasi di mana mangsa ditikam atau badannya tertusuk dahan pokok atau sebagainya yang mengakibatkan objek tersebut melekat pada tubuh mereka dan pendarahan pada masa yang sama.

Sekiranya mangsa yang anda temui menghadapi kecederaan seperti ini, Sila pastikan anda:

1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Hubungi nombor kecemasan.
3) Biarkan objek yang tertusuk tersebut. Jangan cuba cabut atau menggerakkannya. Stabilkan kedudukan objek itu dan pastikan objek tersebut tidak terdedah pada sebarang pergerakan.
4) Tekan dengan sederhana sekitar kawasan tusukan untuk menghentikan pendarahan.
5) Balut kawasan luka tanpa mengeluarkan objek tersebut.

Di dalam kes kecederaan yang serius disebabkan oleh tembakan, maka anda perlu seharusnya membawa mangsa dengan pantas ke pusat rawatan yang paling hampir.

Kebiasaannya tembakan yang mengenai kepala membawa kepada maut serta merta. Tetapi sekiranya masih mempunyai harapan, pastikan kepala mangsa dalam keadaan tegak dan lebih tinggi daripada paras dada dan segera ke hospital.

Sekiranya tembakan tersebut mengenai muka ataupun leher. Tekan kawasan luka untuk menghentikan pendarahan, tetapi sila pastikan anda tidak menyebabkan mangsa sukar untuk bernafas. Bagi luka yang berada di leher, elakkan daripada tertekan pada carotid artery sehingga menyebabkan darah tidak sampai ke kepala.

Bagi luka tembakan di tangan dan kaki, sekiranya darah tidak berhenti mengalir setelah anda menekannya, anda boleh hentikan pendarahan tersebut dengan mengenakan tekanan di pangkal lengan atau kaki melalui ikatan.

Ana tidak akan menerangkan cara pertolongan cemas untuk mereka yang ditembak di dada mahupun badan, kerana ianya agak rumit untuk dijelaskan melalui penulisan. Disini ana sertakan pautan video untuk rujukan.
Pertolongan cemas hanya untuk tempoh yang sementara sahaja. Mangsa hendaklah dibawa ke hospital dengan segera. Sebarang kelewatan hanya akan menyebabkan mangsa semakin kehilangan darah dan boleh membawa kepada maut.

Pengsan (faint)

Suasana yang cemas dan merimaskan kadangkala menyebabkan sebahagian mangsa pengsan. Sekiranya anda berhadapan dengan situasi ini, anda perlu baringkan mangsa pada lantai dan tinggikan kaki mangsa menggunakan kerusi atau apa-apa sahaja objek yang bersesuaian.

Biarkan mangsa berada di dalam posisi tersebut sehingga 10-15 minit.

Berikan jus buah atau manisan pada mangsa sejurus sahaja mangsa kembali sedar.

Sekiranya muka dan bibir mangsa kebiruan, mempunyai degupan jantung yang sangat perlahan dan mempunyai masalah dalam pernafasan, sila bawa mangsa dengan segera ke hospital yang berdekatan.




Luka Melecur (Burns)

Sebelum kita mengetahui jenis rawatan asas bagi luka melecur, kita perlu mengenali jenis-jenis luka melecur terlebih dahulu.

Luka melecur kebiasaannya akan terbahagi kepada dua:

1) Kecederaan Minor (Luka melecur tahap pertama dan kedua)
2) Kecederaan Major (Sebahagian luka melecur tahap kedua dan luka melecur tahap ketiga)

Kecederaan minor biasanya adalah luka yang kecil saiznya dan hanya melibatkan lapisan kulit pertama dan yang kedua sahaja.

Langkah-langkah yang perlu diambil:

1) Letakkan kawasan melecur di bawah aliran air bersuhu sederhana. Sekiranya tiada air yang mengalir (paip dan sebagainya), rendamkan kawasan kulit yang melecur itu atau memadai menekap kulit yang melecur tersebut dengan kain yang telah dibasahkan dengan air sejuk. Lakukannya di dalam tempoh 10-15 minit atau sehingga kesakitan beransur hilang.
2) Tutup atau balut kawasan kulit yang melecur dengan kain yang bersih. Jangan guna kain yang boleh melekat dengan luka mangsa.

Kecederaan minor atau ringan ini biasanya akan pulih dengan sendirinya tanpa perlu melalui rawatan lanjut. Tetapi, sekiranya terjadi jangkitan kuman pada bahagian yang luka, sila bawa mangsa ke hospital.

blister
Diingatkan agar anda tidak menggunakan ais secara langsung pada kulit yang sedang melecur dan elakan daripada memecahkan blister.

Sekiranya anda berhadapan dengan mangsa yang mempunyai kecederaan melecur major atau serius, sila hubungi nombor kecemasan dengan segera atau membawa mangsa tersebut ke hospital untuk mendapat rawatan segera.

Anda dinasihatkan agar tidak menanggalkan pakaian mangsa dan jangan merendamkan kawasan kulit yang melecur ke dalam air.

Tingkatkan Tawakal dan Usaha

Perkongsian daripada ana ini tidaklah bertujuan untuk meningkatkan rasa cemas atau sengaja menyatakan bahawa kita sedang berada di dalam bahaya. Tetapi ana menulis supaya boleh dijadikan rujukan andai kata sesuatu yang tidak baik berlaku pada rakan kita.

Setidak-tidaknya, ilmu ini akan menjadi tambah nilai yang berguna buat diri kita.

Marilah kita perbanyakkan doa dan perbaiki diri kita.

Tahun ini merupakan tahun yang sangat unik, di mana kita sedang membulatkan tawakal kita pada Allah swt bukan hanya terhadap keputusan peperiksaan kita setelah kita menaruhkan segala usaha yang ada. Tetapi kita turut sama meletakkan tawakal kita terhadap jiwa dan nyawa kita setiap kali kaki kita melangkah keluar daripada rumah.

Teruskan usaha kita mengejar kejayaan.

Inilah kelebihan kita, mahasiswa Malaysia di Mesir. Kita cekal walaupun berhadapan pelbagai cabaran.

Moga Allah terima segala usaha kita.

Wednesday, December 25, 2013

Gas Pemedih Mata: Panduan Keselamatan.


Gas Pemedih Mata: Panduan Keselamatan.

Sejak kebelakangan ini, sering berlaku demonstrasi rakyat daripada kalangan mahasiswa yang melibatkan kawasan universiti dan laluan jalanraya yang biasa digunakan oleh pelajar Malaysia di Mesir.

Setiap kali terjadinya pertembungan antara pihak berkuasa dan demostran, pasti kita, pelajar Malaysia akan turut sama terkena tempias gas pemedih mata.

Apakah isi kandungannya?

 Antara jenis gas pemedih mata yang biasa digunakan untuk menyuraikan perhimpunan mahupun demonstasi jalanan adalah o-chlorobenzylidenemalononitrile (CS) dan chloroacetophenone (CN).

Berdasarkan kanister gas pemedih mata yang dijumpai selepas demonstrasi di Tahrir, dipercayai gas pemedih mata yang digunakan oleh pihak berkuasa Mesir bagi berhadapan dengan demonstrasi di sini adalah daripada jenis CS.

CS dan CN adalah ejen lakrimator yang memberikan kesan kepada mata, kulit dan sebarang permukaan mukus terutamanya daripada saluran pernafasan dan permakanan. Mata yang terdedah dengan CS akan merasai kepedihan dan seakan terbakar. Kebiasaannya air mata akan terhasil sebagai reaksi tindak balas.

Mereka yang berada di kawasan yang terdedah pada ejen lakrimator akan merasai  pedih pada kulitnya, sakit tekak, cenderung untuk batuk dan menghadapi kesukaran dalam bernafas.

Kesimpulannya, suasana berada di dalam kawasan yang telah “diserang” oleh gas pemedih mata sangatlah menyeksakan dan sangat pedih.

Adakah gas pemedih mata berbahaya?

Kebiasaannya tidak membawa sebarang mudarat yang berpanjangan kerana kesan sampingan yang disebabkan oleh CS hanya bersifat sementara dan akan beransur-ansur hilang setelah bebas daripada pendedahan kepada CS.

Akan tetapi bagi mereka yang sudah sedia ada mempunyai penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan seperti asma berkemungkinan akan berhadapan dengan situasi yang sukar apabila terdedah dengan gas pemedih mata.

Wanita mengandung sangat-sangat tidak digalakkan berada di kawasan yang sedang terdedah dengan gas pemedih mata.

Kelewatan di dalam membersihkan diri mahupun berterusan membiarkan diri terdedah dengan gas pemedih mata juga akan memberikan kesan yang buruk seperti radang kulit.

Langkah berjaga-jaga yang boleh dilakukan.

 Sebelum ke kuliah:
1)      Membawa bersama sebotol air limau atau air kosong.
2)      Sediakan sehelai kain bersaiz sederhana.
3)      Bawa bersama pelindung mata (goggle, jika ada)
4)      Bawa ubat-ubatan peribadi.
5)      Elakkan memakai losyen pada kulit.
6)      Memakai pakaian lengan panjang dan berkasut.

Apabila terpaksa berada di dalam kawasan yang terdedah dengan gas pemedih mata:
1)      Tanggalkan kanta mata pelekap dan jangan memakainya semula walaupun suasana telah beransur reda, bersihkannya dahulu.
2)      Basahkan kain yang dibawa dengan air limau, gunakannya untuk menutup mulut dan hidung.
3)      Meminimakan kawasan kulit yang terdedah. (Elakkan menyinsing lengan baju).
4)      Segera mencari dan menuju ke kawasan yang tidak terdedah dengan gas pemedih mata.
5)      Gunakan goggle. *jika ada.
6)      Jika tiada kain untuk menutup muka, gunakan bahagian dalam baju/jaket anda untuk bernafas. Ini hanya akan membantu untuk sementara waktu sahaja sebelum baju tersebut mulai tepu dengan CS.
7)      Jangan basuh muka dengan air biasa sekiranya air yang anda ada adalah sedikit, ia akan memedihkan lagi wajah anda. Gunakan air limau untuk membasuh kulit anda.
8)      Elakkan terlalu kerap menelan air liur, ludahkannya keluar.
9)      Jangan gosok mata anda dan bernafaslah dengan teratur dan pelahan bagi mengurangkan jumlah ejen lakrimator yang disedut masuk melalui saluran pernafasan.
10)   Jika ingin minum, sebaiknya minumlah dengan air limau yang di bawa.
11)   Elakkan daripada membasahkan tubuh badan anda, ianya hanya akan meningkatkan kepedihan pada kulit anda.

Selepas berada di kawasan yang terdedah kepada gas pemedih mata:
1)      Basuh pakaian yang dipakai secara berasingan daripada pakaian harian yang lain. (gunakan air sejuk)
2)      Mandi dengan air sejuk/bersuhu sederhana. Elakkan penggunaan air panas kerana ia akan menyebabkan pembukaan liang roma dan membolehkan ejen lakrimator yang terdapat pada tubuh masuk.
3)      Jangan meletakkan sebarang losyen atau krim pada kulit yang terjejas kecuali setelah mendapat nasihat pakar atau setelah tubuh badan dibersihkan atau selepas 6 jam (CS larut di dalam lemak, maka penggunaan krim mahupun losyen hanya akan memburukkan keadaan)
4)      Boleh gunakan ais yang dibalut dengan kain bagi mengurangkan rasa pedih pada kulit.
5)       Jika menghadapi kesan sampingan yang lebih teruk seperti blister, penyakit berkaitan sistem pernafasan dan serbuk CS mengenai mata pada kuantiti yang banyak, maka dinasihatkan agar segera berjumpa doktor di pusat rawatan kesihatan yang berdekatan.

Panduan dan ilmu yang dikongsikan di sini adalah bertujuan untuk kegunaan pelajar Malaysia yang berkemungkinan sekali lagi terpaksa melalui suasana demonstrasi yang melibatkan gas pemedih mata.

Tips ringkas bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan semua panduan di atas, cukup sekadar ingat tiga kata kunci bagi berhadapan dengan kepedihan terdedah dengan gas pemedih mata:

“Air sejuk, udara dan masa.”

Selamat berjuang dan meneruskan perjalanan menuntut ilmu rakan-rakan semua.

*Air limau tu sedap minum (haha)

Monday, December 16, 2013

2014: Bebanan ekonomi rakyat.

Tahun 2013 sudah hampir tiba ke penghujungnya. Sementara menantikan tibanya bulan Januari memunculkan diri, satu persatu pengumuman berkaitan kenaikan harga barangan mahupun perkhidmatan di dalam negara kita berlaku.

Menakutkan.

Di Malaysia, jumlah pekerja yang menerima pendapatan bulanan melebihi RM 2500 hanyalah sekitar 1.7-1.95 juta orang sahaja, bermakna hanya dalam lingkungan 15% daripada 13 juta pekerja. Bagaimana pula dengan yang berbaki 85%?

Majoriti inilah yang terus ditekan dan sangat tertekan dengan perubahan iklim ekonomi negara pada hari ini.

Bermula daripada penurunan subsidi petrol RON 95 dan gula yang membawa kepada peningkatan kos sara hidup secara tidak langsung sebelum ini. Kemudiannya pada hari ini, seorang demi seorang daripada barisan kabinet menteri mengumumkan kenaikan harga produk dan perkhidmatan seliaan kementerian mereka.

Kadar Tarif Elektrik

Dijangka pada awal tahun hadapan akan berlaku kenaikan tarif elektrik sebanyak 10-20%, iaitu sekitar 6-7 sen/kWj.

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, pengstrukturan semula kadar tarif ini dikatakan sebagai perlu demi menjayakan proses merasionalisasikan pengagihan susbsidi dan merupakan impak daripada kenaikan harga bahan api dan minyak sedunia.

Ana tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir Azman Mohd yang menyatakan rakyat tidak akan terjejas dengan pengenalan kadar baru ini. Meskipun kadar yang baru ini hanya akan dikenakan kepada pengguna 200 kWj ke atas, tetapi ianya hanyalah berjumlah sekitar 50% daripada pengguna.

Bagaimana boleh mengatakan dengan yakin bahawa rakyat tidak terjejas? Adakah kerana merasa pasti bahawa rakyat biasa hanya menggunakan sedikit kuasa elektrik bagi penggunaan elektrik? Hujah sedemikian tidak menyeluruh dan bagaikan terlupa bahawa pengilang dan berbagai lagi sektor perkhidmatan yang lain merupakan pengguna yang bakal dikenakan kadar baru ini.

Bukankah ini akan membawa kepada peningkatan kos penghasilan dan perkhidmatan seterusnya menekan rakyat?

Menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada 3 Disember yang lepas, pelarasan semula kadar tarif ini akan menyebabkan kenaikan inflasi sebanyak 0.4% seterusnya memungkinkan inflasi negara meningkat sehingga 3.0%.

Kerajaan sendiri membuktikan bahawa kenaikan kadar tarif ini akan membebankan rakyat berpendapatan rendah. Buktinya? Lihat sahajalah apa yang diumumkan oleh pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkenaan struktur tambang Monorail dan LRT akan dikaji semula untuk kenaikan selaras dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang baru.

Itu baru pengangkutan awam, belum lagi barangan dan perkhidmatan lain.

Rakyat dan bebanan kos pengangkutan


Purata pengguna yang menggunakan Monorail adalah sekitar 70,000 orang setiap hari.

Mereka yang sedia ada menggunakan kemudahan ini adalah majoritinya daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Perkhidmatan LRT dan Monorail dijadikan satu pilihan terbaik buat golongan ini untuk membolehkan mereka memininumkan kos di dalam bergerak ke mana-mana berikutan kenaikan harga petrol. Akan tetapi, amat malang sekali apabila mereka sekali lagi menjadi mangsa kenaikan harga.

Bagaimana kerajaan boleh menjamin harga barangan dan perkhidmatan di negara ini di dalam kawalan dan tidak akan membebankan rakyat sedangkan kerajaan sendiri tidak berdaya mengawal harga daripada pihaknya sendiri.

Dijangkakan peningkatan pada harga tambang turut akan berlaku pada tambang Kereta api Tanah Melayu (KTM). Apa yang sedang berlaku pada kerajaan kita hari ini?

Ini bukan satu-satunya isu yang melibatkan SPAD. Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) setelah sekian lama mendesak agar tambang bas sekolah dinaikkan telah sebulat suara melalui usul di dalam mesyuarat yang lepas untuk menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40%.

Kenaikan RM 0.20 seliter pada harga petrol tempoh hari telah menunjukkan impaknya sedikit demi sedikit walaupun terdapat pihak yang cuba menafikan dan tidak mengendahkannya.

Belum cukup dengan kenaikan harga petrol dan tambang pengangkutan awam, kemudian ditoreh lagi luka penderaan rakyat dengan semakan semula bayaran tol yang akan meningkatkan bayaran tol di 13 lebuhraya seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan bahawa kenaikan ini tidak dapat dielakkan kerana sudah dipersetujui di dalam perjanjian sebelum ini. Akan tetapi kenyataan ini dibidas oleh YB Rafizi Ramli melalui kenyataannya bahawa seharusnya kerajaan mampu menetapkan harga mahupun menurunkannya kerana syarikat konsesi lebuhraya seperti PLUS dan Prolintas adalah dibawah kendalian kerajaan.

Menurut Rafizi, PLUS dikuasai sepenuhnya oleh agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sementara Prolintas adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

“Hanya Gamuda syarikat swasta tetapi agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59% pegangan (berdasarkan pemilikan saham akhir 2010) dalam Gamuda yang menjadikan kerajaan Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensinya,” katanya.

Kerajaan menyatakan telah terpaksa membayar pampasan berjumlah RM 400 juta bagi memastikan tiada peningkatan harga kerana tidak membenarkan penstrukturan semula harga bayaran tol yang sepatutnya berlaku pada tahun 2011 yang lalu.

Ana tertanya-tanya.

Kerajaan sedang memeras kantung duit rakyat dengan berhelahkan alasan "terpaksa". Sedangkan yang memaksa dan yang berada di dalam rundingan kontrak ini adalah mereka yang sama menyatakan dirinya "terpaksa".

Kelakar.

Apakah nasib rakyat?

Kerajaan pimpinan DS Najib Razak menyatakan antara tindakan yang diambil bagi memastikan golongan rakyat yang terjejas melalui pemberian BR1M dan menurunkan kadar cukai pendapatan serta cukai korporat.

Hakikatnya, seperti yang dinyatakan pada awal penulisan ini. Hanya 15% daripada pekerja yang dikehendaki membayar cukai pendapatan. Maka apa manfaat yang boleh diperoleh majoriti yang terjejas ini dengan pengurangan cukai pendapatan?

Sistem ini hanya menguntungkan mereka yang sedia ada berpendapatan tinggi.

Ana tidak mahu mengulas berkaitan konsep pemberian rebat seperti BR1M secara one-off yang bagi ana tidak akan membantu memulihkan penderitaan rakyat marhaen.

Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan tindakan penurunan subsidi perlu dibuat kerana kerajaan sudah tidak mempunyai sebarang pilihan.

Kerajaan kini menghadapi ‘Twin Deficit’ atau ‘Defisit Berkembar’, yang pertama Defisit Fiskal kerana “Perbelanjaan melebihi pendapatan” dan yang kedua Defisit Perdagangan kerana “Import lebih daripada Eksport”. Situasi ini telah menyebabkan sebuah badan penarafan antarabangsa, Fitch Rating untuk menurunkan penarafan atau sovereign rating Malaysia daripada "Stabil" kepada "Negatif".

Lantaran daripada itu, kerajaan Malaysia dilihat cuba memulihkan imej dan status ekonominya melalui penstrukturan semula subsidi dan mengkaji semula projek-projek kerajaan.

Bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan dilihat -bagi ana- lebih cenderung meningkatkan sumber pendapatan seperti penurunan subsidi dan pengenalan cukai GST berbanding cuba mengatasi masalah yang sebenar.

Perbelanjaan boros, tidak mengikut keutamaan, ketirisan, ketidakpatuhan, amalan kronisme dan paling parah rasuah mengakibatkan negara mengalami 16 tahun defisit belanjawan.

Seharusnya kerajaan berusaha mengubati luka yang menyebabkan wang rakyat terus berdarah mengalir.

Tetapi kerajaan tidak mempamirkan sedemikian. Sebaliknya, kerajaan dilihat lebih berminat mengurangkan kemampuan dan pelaburan kepada rakyat sepertimana yang boleh dilihat pada bajet 2014. Perbelanjaan mengurus telah meningkat sebanyak RM 15.7 bilion berbanding di dalam bajet 2013 sedangkan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang memberikan kesan kepada pembangunan rakyat telah dikurangkan sebanyak RM 3.2 bilion.

Mengapakah perbelanjaan mengurus meningkat sedangkan subsidi sudah dikurangkan? Jika sebelum ini subsidi berada di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, maka mengapa setelah subsidi ditarik tidak pula berlaku penurunan pada angka penurunan perbelanjaan mengurus? Malahan meningkat.

Tindakan ini menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak telus dalam menyatakan kondisi ekonomi negara, di hadapan rakyat jelata merayu-rayu meminta rakyat berjimat cermat tetapi mereka sewenang-wenangnya meneruskan perbelanjaan duit rakyat yang mana kita sedia maklum melalui pembentangan Laporan Ketua Audit Negara saban tahun berlaku ketirisan dan perbelanjaan tidak perlu, sudah jelas melalui pengamalan kerajaan sebelum ini peruntukan perbelajaan mengurus kebanyakannya akan masuk ke dalam poket kroni.

Diparahkan lagi sekiranya kerajaan hari ini masih tidak bijak berbelanja sehingga terpaksa membuat bajet tambahan sepertimana pengamalan kerajaan pimpinan DS Najib semenjak tahun 2009.

Menteri-menteri yang berkaitan sering menggunakan alasan terhadap fenomena kenaikan harga dengan menyatakan bahawa sudah lama tidak berlaku penstrukturan semula dan harga sedia ada adalah harga lama yang tidak wajar untuk digunakan pada hari ini.

Ketahuilah wahai para menteri kami, pendapatan rakyat juga sudah lama tiada peningkatan dan tidak wajar pada kondisi hari ini. Malahan, kuasa membeli kami makin hari makin berkurangan. 

Rakyat Malaysia.
Selamat datang 2014.