Monday, October 21, 2013

Perjanjian TPP: Apa Selepas APEC dan 17 Oktober?

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Pengenalan Ringkas TPPA.

TPP merupakan cadangan perjanjian perdagangan yang melibatkan 12 buah negara. Perjanjian ini bersifat multi-lateral dan merupakan himpunan set-set perjanjian perdagangan bilateral sedia ada antara Amerika Syarikat dan beberapa negara yang kini menyertai TPP.

Perjanjian ini diterajui oleh AS dan dimulakan rundingannya daripada tahun 2010 sewaktu tempoh pentadbiran George Bush. TPP merupakan perkembangan daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans Pasifik (TPSEP atau P4) yang pada awalnya merupakan perundingan di antara Brunei, Chile, Singapore dan New Zealand pada tahun 2005.

Perjanjian ini telah melalui 18 rundingan dan pada awalnya dijangka akan mendapat kata putus pada bulan Oktober 2013, akan tetapi kegagalan Presiden Obama untuk menghadirkan diri ke dalam persidangan APEC pada 5-7 Oktober di Bali yang lalu kerana terpaksa mengutamakan isu negaranya berkenaan bajet tahunan dan siling hutang (debt ceiling) telah merencatkan usaha bagi merealisasikan proses penandatanganian perjanjian ini. Dijangka perjanjian ini tidak akan dapat ditandatangani pada tahun ini.

Sekiranya perjanjian ini berjaya ditandatangani, perundingan ini bakal meliputi 2/5 daripada ekonomi dunia. Akan tetapi TPP telah mengundang pelbagai kontroversi berikutan skop perundingan ini yang lebih besar berbanding perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang biasa.

Kerajaan Malaysia tidak terkecuali di dalam menerima kritikan daripada kalangan ahli politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap penglibatannya di dalam rundingan ini. Antara perkara yang menjadi kerisauan adalah seperti di dalam bab Perolehan Kerajaan (Government Procurement), Hak Harta Intelektual (IPR), tenaga buruh, alam sekitar, Resolusi Penyelesaian Pertikaian Antara Pelabur dan Negara (Investor-State Dispute Settlement, ISDS), nasib perusahaan kecil dan sederhana dan kerahsiaan isi perundingan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan perundingan tersebut tidak akan mengganggu gugat tiga elemen penting iaitu perlembagaan negara, kuasa kerajaan negeri dan dasar-dasar negara.

Apa Selepas APEC dan 17 Oktober?

Beberapa perbincangan telah tercetus antara pengkritik dan pemerhati sewaktu AS terhadap keputusan Obama untuk tidak menghadirkan dirinya ke persidangan Asia Pasific Economy Coorperation (APEC) gara-gara konflik dalaman negaranya sehingga terpaksa menghentikan operasi pentadbiran negara AS.

Ketika itu AS telah melalui suatu tempoh yang cukup genting di mana operasi pentadbiran terpaksa dihentikan kerana Republikan tidak bersetuju untuk meluluskan bajet tahunan disebabkan polisi kesihatan baru yang lebih dikenali sebagai Obamacare. Ditambah pula dengan isu siling hutang yang perlu dinaikkan kadarnya sebelum menjelang 17 Oktober bagi mengelakkan kegagalan AS dalam membayar hutang dan menjalankan beberapa komitmen negaranya.

Hal ini telah memaksa Obama untuk membatalkan lawatannya ke Asia bagi menangani isu ini bagi mengelakkan krisis ekonomi yang lebih dahsyat. Tindakan Obama tidak meneruskan lawatannya ke Asia telah dikritik oleh beberapa pemerhati kerana telah mengabaikan peluang yang membawa ke arah potensi pulangan yang lebih besar berbanding memilih untuk berada di Washington untuk satu penyelesaian jangka pendek yang dijangka krisis yang sama tetap akan berulang sekali lagi Februari tahun hadapan.

Pentadbiran Obama dilihat telah merugikan masa yang ada bagi memastikan TPPA dan TIPP (bagi perjanjian dengan Eropah) berjaya dimeterai hanya kerana terpaksa berhadapan dengan konflik antara Demokrat dan Republikan.

Kegagalan Obama untuk berada di dalam APEC secara tidak langsung telah mengurangkan keyakinan negara yang menyertai rundingan TPP ini dan menunjukkan kelemahan AS dalam menangani konflik dalaman negaranya.

China telah mengambil peluang ini untuk mempromosikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dimulakan rundingan ini bermula pada 20 November 2012.

RCEP dilihat bersaing dengan TPPA di dalam menguasai pasaran dunia. Walaupun RCEP merupakan perundingan perjanjian perdangan yang baru sahaja diperkenalkan, perundingan ini dilihat lebih meyakinkan kerana disertai negara yang lebih sekata status ekonominya. RCEP juga tidak mempunyai banyak kontroversi berbanding yang ditimbulkan oleh TPPA.

Akan tetapi Malaysia melalui Kementerian Perdangan Antarabangsan dan Industri (MiTi) lebih menumpukan kepada perjanjian TPP berbanding RCEP.

Apa akan berlaku pada TPPA?

Pendirian AS untuk memastikan negara yang menyertai rundingan ini untuk menghapuskan kawalan terhadap pembiayaan rentas sempadan turut menimbulkan kesangsian sama ada perundingan ini akan mencapai kata sepakat.

Ini kerana Negara Malaysia dan Chile merupakan antara negara yang mengenakan kawalan terhadap pembiayaan rentas sempadan. Tindakan yang telah di buat oleh Malaysia semenjak tahun 1990-an ini terbukti berjaya mengurangkan risiko krisis ekonomi terutamanya yang berlaku pada tahun 2008. International Monetary Fund (IMF) juga telah bersetuju untuk menukar pendiriannya terhadap dasar aliran modal ini dan berpendapat bahawa kawalan sebegini berkesan. Akan tetapi aneh apabila AS ingin memastikan tiada kawalan sebegini sadangkan ianya terbukti boleh membawa kepada krisis ekonomi sekiranya tiada sekatan dan kawalan.

Menurut Kevin P. Gallagher yang pernah mengetuai satu task force daripada Universiti Boston bagi mengkaji kesan aliran modal antara negara maju dan negara membangun, beliau menegaskan bahawa seharusnya sebuah negara membangun mempunyai kawalan terhadap pembiayaan rentas sempadan sebelum menyertai mana-mana perjanjian perdagangan.

Ana percaya Malaysia tidak akan bersetuju di dalam perkara ini dan kita bakal melihat rundingan ini akan berpanjangan sebelum disepakati dan ditandatangani.

Pertembungan antara Republikan dan Demokrat di dalam soal polisi luar negara AS semenjak isu campur tangan tentera AS di dalam soal krisis di Syria juga telah menimbulkan kebimbangan di dalam kalangan pemerhati dan telah menimbulkan anggapan bahawa TPP ini mungkin akan berhadapan dengan dua cabaran, pertama untuk meyakinkan negara luar menyertainya dan yang kedua untuk memastikan TPP ini akan dimeterai tanpa bantahan daripada ahli kongres.

Tetapi kemungkinan ini hanya kecil memandangkan kedua-dua Demokrat dan Republikan dilihat menyokong idea perlaksanaan TPP sebelum ini.

Persoalannya adalah apakah yang akan berlaku kepada perjanjian ini? Adakah akan berulang sejarah sepertimana Doha Development Agenda (DDA) yang bermula pada 2001 dan telah tergendala pada tahun 2008 sehingga pada hari ini?

Bantahan demi bantahan yang dilakukan oleh masyarakat dunia semenjak perundingan ini dimulakan di negara-negara yang menyertai perundingan ini termasuklah di AS sendiri telah memberikan suatu signal yang tidak baik kepada perkembangan proses perundingan ini.

Ana menjangkakan perundingan TPP ini akan berlanjutan ke suatu tempoh yang lebih lama dan berkemungkinan juga akan tergendala sepertimana DDA sebelum ini berikutan terlalu banyak perkara yang belum berjaya disepakati. Kemungkinan selepas ini Malaysia akan lebih menumpukan perhatian kepada perundingan RCEP yang dilihat kurang menganggu gugat perkara sensitif negara berbanding TPP dan dilihat lebih berupaya disepakati di dalam tempoh yang lebih singkat berbanding TPP.

Ana cuma pelajar jurusan perubatan, mungkin bukan bidang ana utuk berbicara perkara ini. Cuma ingin berkongsi hasil pemerhatian dan pembacaan ana berkaitan TPPA mutakhir ini. Mohon diperbetulkan fakta yang silap dan salah faham yang ada pada pemerhatian ini.

p/s : Ada masa selepas ini, ana akan menulis berkenaan RCEP pula. Lama tak kemaskini blog, haha..


No comments:

Post a Comment